Merokok di premis makan dan kompleks beli-belah, KKM keluarkan 3,419 notis


  • Primer
  • Selasa, 26 Okt 2021

NOTIS itu dikeluarkan di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2018. — Facebook/KKM

SEHINGGA 24 Oktober tahun ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengeluarkan 3,419 notis kesalahan merokok di premis makan.

Notis itu dikeluarkan di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2018.

“Jumlah notis itu termasuk aktiviti penguatkuasaan larangan merokok di Kepong oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kepong pada 23 Oktober lalu.

“Dalam operasi itu, sebanyak 20 notis kesalahan di bawah Seksyen 32B dikeluarkan membabitkan 15 kesalahan merokok di tempat makan.

“Lima kesalahan dikenakan ke atas pemilik premis kerana gagal mempamerkan tanda larangan merokok dan memastikan tiada orang merokok di premis masing-masing.

“Selain itu, sebanyak 41 notis kesalahan juga dikeluarkan bagi kesalahan merokok di kompleks beli-belah,” menurut KKM yang disiarkan menerusi Facebook pada Selasa.

Bermula 1 Januari 2019, semua premis makanan berhawa dingin dan tidak berhawa tinggi diwartakan sebagai kawasan larangan merokok dan 1 Januari 2020, penguatkuasaan undang-undang bermula.

Larangan merokok di semua premis makanan masih terpakai sehingga kini dan KKM menjalankan aktiviti penguatkuasaan dari semasa ke semasa di seluruh negara.

Dalam operasi berasingan di Johor Bahru, Johor, sebanyak 30 notis kesalahan dikeluarkan membabitkan 23 kesalahan merokok di tempat makan dan tiga kesalahan dikenakan ke atas pemilik premis.

Operasi penguatkuasaan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Johor pada 25 Oktober itu turut keluarkan empat notis kesalahan bagi kesalahan merokok di tempat larangan lain.

“Mereka yang didapati merokok di kawasan larangan termasuk di tempat makan akan dikenakan kompaun sebanyak RM250.

“Mereka yang melakukan kesalahan pertama boleh dikurangkan kompaun kepada RM150 jika pembayaran dijelaskan di mana-mana Pejabat Kesihatan Daerah dalam tempoh satu bulan daripada tarikh izin kompaun diterima.

“Bagi kesalahan kedua, tiada pengurangan kompaun diberikan dan bayaran penuh kompaun sebanyak RM250 akan dikenakan.

“Kompaun lebih tinggi iaitu sebanyak RM350 akan dikenakan bagi mereka yang melakukan kesalahan kali ketiga dan seterusnya,” kata kenyataan itu.

Dalam pada itu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menegaskan akan sentiasa memantau operasi pematuhan larangan merokok di tempat awam.

Beliau berkata, ia susulan arahan penguatkuasaan yang lebih ketat terhadap larangan tersebut.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan sentiasa berada di lapangan untuk melaksanakan operasi pematuhan,” katanya menerusi ciapan di Twitter pada Selasa.

Pada 21 Oktober, Penguatkuasaan larangan merokok di premis makanan akan ditingkatkan selaras dengan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 pindaan 2018.

Khairy menerusi ciapan dalam Twitter berkata, beliau telah mengarahkan pasukan penguat kuasa untuk berbuat demikian. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

merokok tempat awam, kkm, premis makan