Peraturan baharu buat pelancong asing masuk Amerika Syarikat


  • Berita
  • Selasa, 26 Okt 2021

AS membuka semula sempadan antarabangsa kepada pelancong asing buat kali pertama sejak 2020. — AP

PENTADBIRAN White House menggariskan peraturan baharu untuk pelancong asing yang bakal memasuki Amerika Syarikat (AS) selepas sekatan penerbangan dilonggarkan buat kali pertama sejak pandemik Covid-19 melanda pada 2020.

Pelan untuk membuka semula sempadan AS bulan hadapan untuk penerbangan asing merangkumi keperluan untuk hampir semua pelancong asing menerima vaksinasi sebelum tiba di negara berkenaan.

Larangan perjalanan AS meliputi berpuluh negara termasuk United Kingdom (UK), kebanyakan negara Eropah, China dan India.

Pemain industri pelancongan menggesa Presiden AS, Joe Biden menarik balik larangan tersebut.

Garis panduan yang ditandatangani oleh Biden pada Isnin mengarahkan semua syarikat penerbangan dikehendaki menyemak status vaksinasi pelancong sebelum mereka dibenarkan berlepas.

"Adalah penting bagi AS untuk melonggarkan sekatan yang dilaksanakan ketika Covid-19 dan mengguna pakai polisi perjalanan AS yang bergantung kepada vaksinasi untuk meneruskan perjalanan udara antarabangsa ke AS yang selamat," kata Biden menerusi garis panduan berkenaan.

Syarikat penerbangan perlu mengesahkan bukti vaksinasi itu datang daripada 'sumber rasmi' dan diterima sekurang-kurangnya dua minggu sebelum berlepas.

Sebarang vaksin yang diiktiraf oleh pihak berkuasa kesihatan AS dibenarkan.

Para pelancong yang tidak divaksinasi, termasuk rakyat Amerika, perlu menunjukkan dokumen ujian Covid-19 negatif dalam tempoh sehari selepas berlepas.

Remaja berusia 18 tahun dikecualikan daripada keperluan vaksinasi tetapi perlu memberikan dokumen ujian Covid-19 negatif dalam tempoh tiga hari perjalanan.

Peraturan baharu itu berkuatkuasa 8 November. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram