AS sedia bertemu Korea Utara isu peluru berpandu


  • Benua
  • Rabu, 20 Okt 2021

AS mengutuk tindakan Korea Utara berhubung pelancaran peluru berpandu balistik kapal selam terbaharu pada Selasa. — Agensi

PELANCARAN ujian peluru berpandu balistik kapal selam terbaharu Korea Utara pada Selasa menjadikan Amerika Syarikat (AS) tidak senang duduk.

Namun di sebalik kegelisahan itu, negara kuasa besar itu memaklumkan bahawa Washington tetap bersedia untuk laksana libat urus dengan Korea Utara berhubung perkara berkenaan.

AS terdahulu mengutuk tindakan Korea Utara berhubung pelancaran peluru berpandu tersebut dan menyatakan keperluan mendesak untuk adakan sesi dialog dan diplomasi.

Perkara itu dinyatakan Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Jen Psaki baru-baru ini.

Katanya, AS bersedia untuk bertemu dengan pemimpin Korea Utara di mana sahaja, bila-bila masa tanpa syarat.

"Kami juga berunding dengan sekutu dalam hal ini.

"Kami tetap bersedia untuk terlibat dalam diplomasi dengan Korea Utara," katanya.

Sementara itu, wakil Khas AS ke Korea Utara, Sung Kim pada Selasa mengadakan pertemuan tiga hala dengan rakan sejawatnya dari Korea Selatan dan Jepun.

Pertemuan itu diadakan berhubung keadaan semasa di Semenanjung Korea, menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Luar Negeri.

Dalam pertemuan itu Kim menekankan kecaman AS terhadap pelancaran peluru berpandu balistik Pyongyang pada 19 Oktober.

"Tindakan itu melanggar banyak resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

"Korea Utara tidak patut meneruskannya dengan provokasi dan sebaliknya ambil bahagian dalam dialog yang berterusan dan substantif," ujarnya.

Dalam pada itu, pentadbiran Joe Biden di AS berulang kali mencadangkan agar pihaknya berusaha untuk laksanakan libat urus dengan Pyongyang.

Ia berikutan masalah pelucutan senjata nuklear tetapi tidak menunjukkan kesediaan untuk mengurangkan sekatan terhadap negara itu.

Minggu lalu, Pemimpin tertinggi Korea Utara Kim Jong Un mengatakan tidak ada alasan untuk mempercayai bahawa AS baru-baru ini memberi isyarat bahawa ia tidak memusuhi Pyongyang.

Dia turut membidas Korea Selatan kerana bersikap pilih kasih dengan terus meningkatkan kemampuan ketenteraannya.

"Musuh Korea Utara adalah perang itu sendiri, bukan negara atau tentera tertentu seperti Korea Selatan dan AS," jelasnya.

Korea Utara menguji peluru berpandu balistik kapal selam jenis baharu pada Selasa.

Pada hari yang sama, Ketua Staf Gabungan Korea Selatan (JCS) berkata Korea Utara melancarkan peluru berpandu balistik jarak dekat ke perairan timur. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

AS, Korea Utara, peluru berpandu, libat urus