Sarung tangan buatan Malaysia dilarang memasuki AS


  • Primer
  • Khamis, 21 Okt 2021

SUPERMAX dan anak syarikatnya didakwa menggunakan buruh paksa dalam operasi pembuatan sarung tangannya oleh kerajaan AS. — Agensi

SARUNG tangan pakai buang yang dihasilkan oleh anak syarikat milik penuh Supermax Corporation Bhd dari Malaysia iaitu Maxter Glove Manufacturing Sdn Bhd, Maxwell Glove Manufacturing Bhd dan Supermax Glove Manufacturing akan ditahan daripada memasuki semua pelabuhan masuk Amerika Syarikat (AS) berkuatkuasa pada Khamis.

Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) AS mengeluarkan Perintah Sekatan Pelepasan (WRO) terhadap Supermax Corporation Bhd dan anak syarikatnya yang didakwa menggunakan buruh paksa dalam operasi pembuatan mereka.

CBP mengenal pasti 10 daripada petunjuk Organisasi Buruh Antarabangsa (ILO) tentang buruh paksa dalam siasatannya.

"Melalui WRO ini, Pentadbiran Presiden AS, Joe Biden terus menegaskan bahawa produk yang dibuat secara keseluruhan atau sebahagian oleh buruh paksa tidak akan dibenarkan masuk ke AS,” kata Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri, Alejandro N. Mayorkas dalam kenyataan yang disiarkan di laman web rasmi Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS).

Tambah Mayorkas, DHS akan terus menetapkan standard antarabangsa untuk pemansuhan amalan buruh paksa serta mengeluarkannya daripada rantaian bekalan AS.

Dalam pada itu, Penolong Pesuruhjaya Eksekutif di Pejabat Perdagangan CBP, AnnMarie R. Highsmith berkata, berdasarkan 10 daripada 11 petunjuk buruh paksa yang dikenal pasti semasa siasatan CBP, mereka mempunyai bukti mencukupi untuk menyimpulkan bahawa Supermax Corporation Bhd dan anak syarikatnya didakwa menghasilkan sarung tangan yang melanggar undang-undang perdagangan AS.

"Sehingga Supermax dan anak syarikatnya dapat membuktikan proses pembuatannya bebas daripada buruh paksa, barangan mereka tidak dibenarkan di sini,” jelasnya.

Undang-undang Persekutuan 19 U.S.C 1307 melarang pengimportan barang dagangan yang dihasilkan, sepenuhnya atau sebahagian oleh buruh paksa termasuk buruh paksa kanak-kanak dan buruh terikat.

CBP menahan sebarang penghantaran barangan yang disyaki melanggar undang-undang tersebut. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram