'Covid-19 tidak sihat untuk manusia'


  • Primer
  • Selasa, 26 Okt 2021

KHAIRY berkata, larangan berkempen secara bersemuka adalah langkah mencegah satu lagi gelombang jangkitan Covid-19. — The Star

"COVID-19 tidak sihat untuk manusia."

Demikian kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menerusi ciapan ringkas di Twitter pada pagi Selasa.

Khairy berkata demikian sebagai respons kepada kenyataan penganalis politik, Prof Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya yang mendakwa larangan kempen bersemuka sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tidak sihat untuk demokrasi.

Awang berkata, larangan itu disifatkan bertentangan dengan semangat demokrasi dan pilihan raya yang sebenar.

"Alasan Covid-19 tak boleh digunakan sebagai alasan larangan kempen bersemuka kerana sekarang sudah Fasa Empat PPN (Pelan Pemulihan Negara) dan Covid-19 kini merupakan endemik dan bukan lagi pandemik," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

kj tweet

TANGKAP layar ciapan Khairy di Twitter pada Selasa.



Khairy Jamaluddin dipercayai memberi hujahan ringkas itu berlandaskan fakta bahawa virus Covid-19 berjangkit dalam keadaan tiada penjarakan fizikal, kawasan sesak dan sempit serta sembang secara dekat.

Kementerian Kesihatan sebelum ini mengumumkan larangan perhimpunan yang berkaitan dengan pilihan raya berkuat kuasa 25 Oktober hingga 27 November depan.

Menerusi pengumuman itu, Khairy Jamaluddin dilaporkan berkata, perhimpunan itu termasuk penganjuran majlis seperti pelancaran jentera pilihan raya.

Menurutnya, ia langkah mencegah satu lagi gelombang jangkitan Covid-19 kerana data kes baru-baru ini berkaitan dengan perhimpunan sosial yang diadakan ketika sempadan negeri dibuka semula. — Majoriti



Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram