Aktiviti perhimpunan berkaitan PRN dilarang bermula Isnin — Khairy


  • Primer
  • Ahad, 24 Okt 2021

KKM mendapati antara penyumbang kepada peningkatan kes dan kluster di Malaysia adalah berkait dengan aktiviti perhimpunan atau majlis sosial yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP), kata Khairy. — Bernama

AKTIVITI perhimpunan atau majlis sosial berkaitan pilihan raya tidak dibenarkan mulai 25 Oktober hingga 27 November 2021, menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dalam satu kenyataan pada Ahad berkata, pihaknya menjangkakan banyak perhimpunan serta majlis sosial berkaitan dengan pilihan raya yang akan diadakan susulan pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November depan.

"Memandangkan risiko penularan jangkitan Covid-19 masih tinggi, terutama dengan penularan varian Delta dalam komuniti dan peningkatan bilangan kes Covid-19 baharu yang dilaporkan, aktiviti tersebut akan meningkatkan lagi risiko penularan jangkitan dalam komuniti.

"Berdasarkan peruntukan di bawah subperaturan 10(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021 [P.U.(A) 293/2021] yang dibuat di bawah subseksyen 11(2) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342], aktiviti perhimpunan adalah tidak dibenarkan," katanya.

Menurut akta tersebut, tiada seorang pun yang dibenarkan berhimpun atau terlibat dalam apa-apa perhimpunan di mana-mana kawasan jangkitan semasa dalam mana-mana fasa yang ditetapkan.

Khairy memberi amaran bahawa mana-mana individu, penganjur atau organisasi yang melanggar larangan tersebut boleh dikenakan tindakan perundangan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Ini kerana, katanya, KKM mendapati antara penyumbang kepada peningkatan kes dan kluster di Malaysia adalah berkait dengan aktiviti perhimpunan atau majlis sosial yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

"Memandangkan risiko penularan jangkitan Covid-19 mash tinggi, terutama dengan penularan varian Delta dalam komuniti dan peningkatan bilangan kes Covid-19 baharu yang dilaporkan, aktiviti tersebut akan meningkatkan lagi risiko penularan jangkitan Covid-19 dalam komuniti.

"Semua pihak dikehendaki mematuhi peraturan, SOP dan arahan yang telah ditetapkan demi memastikan penularan jangkitan Covid-19 dapat mencegah peningkatan kes dan kejadian kluster," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram