Larangan di PRN Melaka satu tindakan pengecut kerajaan — Guan Eng


  • Politik
  • Ahad, 24 Okt 2021

KERAJAAN mungkin takut menghadapi pengundi kerana telah menyebabkan kejatuhan Kerajaan Negeri Melaka dan kegagalan dalam pentadbiran seperti pandemik Covid-19 dan kemelesetan ekonomi, kata Guan Eng. — Bernama

PARTI Tindakan Demokratik (DAP) menyelar tindakan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin yang melarang segala aktiviti perhimpunan berkaitan pilihan raya dan menyifatkannya sebagai satu langkah penakut dari pihak kerajaan.

Setiausaha agungnya, Lim Guan Eng dalam satu kenyataan berkata, tindakan itu jelas mempersendakan prinsip demokrasi di negara ini dan mengambil alih kuasa yang diberi kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

"Parti pemerintah dalam kerajaan mungkin takut menghadapi pengundi kerana telah menyebabkan kejatuhan Kerajaan Negeri Melaka dan kegagalan dalam pentadbiran seperti pandemik Covid-19 dan kemelesetan ekonomi.

"Tetapi kerajaan tidak boleh membiarkan ketakutan untuk menghadapi pengundi sehingga melanggar demokrasi dan mengambil alih peranan Suruhanjaya Pilihan Raya bagi menjalankan pilihan raya dengan adil, bebas dan saksama," katanya menerusi Facebook pada Ahad.

Beliau berkata demikian susulan pengumuman yang dilakukan oleh Khairy pada Ahad yang tidak membenarkan sebarang aktiviti perhimpunan atau majlis sosial berkaitan pilihan raya diadakan mulai 25 Oktober hingga 27 November 2021.

Tegas Guan Eng, jika Khairy betul-betul bimbang tentang risiko penularan Covid-19, beliau sepatutnya tidak membenarkan pilihan raya daripada diadakan.

Tambahnya, Khairy tidak berani berbuat demikian kerana beliau tahu perkara itu adalah menyalahi undang-undang.

"Oleh sebab itu dia menggunakan taktik yang tidak beretika dan berat sebelah untuk menguntungkan kerajaan.

"Lebih baik Khairy sahaja menjalankan keseluruhan proses pilihan raya dan bukannya SPR. Larangan Khairy mengingatkan kita tentang Malaysia di bawah "total lockdown".

"Sekarang apabila Malaysia dibuka semula tanpa sebarang "lockdown", mengapa ada "total lockdown" yang dikenakan dalam kempen pilihan raya? Jelas ini adalah gambaran yang bercanggah tentang sebuah negara, dua sistem berbeza," soalnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, DAP akan mengarahkan peguamnya untuk mengkaji sama ada larangan dan sekatan berat kepada calon untuk bertemu pengundi adalah sah dan mematuhi peraturan dan peraturan pilihan raya.

Tambah Guan Eng, pemimpin DAP juga akan bermesyuarat bersama pemimpin Pakatan Harapan (PH) untuk membincangkan sekatan itu yang disifatkannya sebagai tidak adil dan tidak demokratik, dan bertujuan untuk melumpuhkan pembangkang dan memberi kelebihan awal kepada kerajaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram