Beruang 'lawat' hospital di Temerloh


  • Tular
  • Sabtu, 23 Okt 2021

TANGKAP layar menunjukkan seekor beruang muncul di kawasan Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh, Pahang

SEPANJANG pandemik Covid-19, jumlah kehadiran dan orang ramai di hospital pastinya lebih banyak berbanding sebelumnya.

Tanpa mengira apa jenis penyakit yang sedang dihadapi atau pun tujuan sebenar, hospital sering menjadi lokasi yang menerima kehadiran ramai orang.

Bagaimanapun, persoalan timbul tentang keselamatan di hospital selepas tular satu rakaman menunjukkan kehadiran binatang buas.

Menerusi rakaman berdurasi 14 saat yang dikongsikan Hamdan Misai dalam page Info Kemalangan Jalan Raya, seekor beruang tiba-tiba muncul di perkarangan hospital.

Dikatakan insiden itu berlaku di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh, Pahang.

“Beruang tersesat sehingga Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh, Pahang,” menurut kapsyen yang disertakan bersama video dimuatnaik.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan apa kesudahan kepada kejadian itu kerana dapat dilihat beruang berkenaan bergerak menaiki kawasan berbukit.

Sekali pun kejadian itu tidak mencetuskan sebarang kemalangan jiwa, pihak berkaitan seharusnya mengambil berat.

Pihak hospital juga wajar mempertingkatkan kawalan di kawasan sekitar terutaya bagi hospital yang terletak berhampiran dengan hutan.

Beruang itu bagaimanapun berjaya ditangkap oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang.

Pengarahnya Rozidan Md Yasin berkata, pihaknya menangkap beruang berkenaan kira-kira 12.30 tengah hari Jumaat.

"Operasi menangkap haiwan berkenaan dilakukan kakitangan Perhilitan Temerloh dengan mendapat kerjasama daripada beberapa penduduk kampung.

"Beruang betina seberat 60 kilogram berusia antara dua hingga tiga tahun itu dibawa ke Pusat Konservasi Hidupan Liar Jenderak Selatan, di sini bagi rawatan dan pemantauan," katanya.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

tular, beruang, hospital