PDRM digesa siasat dakwaan @edisi_siasatmy


  • 112
  • Isnin, 25 Okt 2021

MUSA ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan MCCC di Pejabat MCCC di Alam Damai, Kuala Lumpur pada Isnin. — Bernama

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) digesa menyiasat kenyataan dimuat naik oleh pengguna akaun Twitter dikenali sebagai @edisi_siasatmy yang mendakwa segelintir pegawai kanan PDRM dipercayai terlibat dalam kes penyelewengan, salah guna kuasa dan rasuah.

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan yang membuat gesaan itu berkata, sebelum mengambil tindakan lanjut, PDRM terlebih dahulu perlu mengesahkan sama ada dakwaan yang tular di media sosial itu benar atau sebaliknya.

Jelasnya, pegawai dikaitkan dengan dakwaan berkenaan boleh mengambil tindakan saman sivil sekiranya maklumat itu terbukti palsu.

"Daripada sudut perundangan, mereka boleh mengambil tindakan saman jika maklumat itu palsu namun kalau benar semua bukti perlu dikumpulkan untuk menentukan sama ada jenayah berkenaan benar berlaku atau sebaliknya,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC), Alam Damai, Kuala Lumpur pada Isnin.

Musa yang juga Presiden MCCC berkata, mereka yang dikaitkan perlu diambil tindakan bagi mengelak imej PDRM tercalar.

"Dalam hal ini, kesemua sumber maklumat terbabit perlu disiasat benar atau palsu. Selain itu, pengguna Twitter tersebut juga ada memberi kenyataan kes yang sama turut melibatkan pengurusan tertinggi sebuah badan pencegah rasuah,” ujarnya.

Baru-baru ini tular di media sosial mengenai pendedahan pemilik akaun Twitter berkenaan yang mendakwa segelintir pegawai kanan polis dipercayai terlibat masalah salah laku selain turut mendakwa pengurusan tertinggi sebuah badan pencegahan rasuah melindungi sindiket jenayah serta terbabit dengan rasuah. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Musa Hassan, MCCC, rasuah, maklumat