POLIS Diraja Malaysia (PDRM) sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa Australia bagi menjalankan siasatan lanjut berhubung penahanan seorang rakyat Malaysia yang disyaki menyeludup dadah ke negara itu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Razarudin Husain berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik PDRM sedang bekerjasama dengan pihak Polis Persekutuan Australia (AFP) bagi menjalankan siasatan terbabit.
Katanya, PDRM akan mengambil semua tindakan bagi memastikan kegiatan pengedaran dan penyeludupan dadah dapat dibanteras tanpa kompromi.
"Media melaporkan seorang warga Malaysia telah ditahan pihak berkuasa Australia kerana cuba menyeludup masuk 450 kilogram heroin bernilai RM431.8 juta ke negara berkenaan,” menurutnya dalam kenyataan pada Ahad.
Menurut laporan media pada Sabtu, pihak berkuasa Australia telah merampas dadah terbabit dalam satu siri serbuannya dan menurut kenyataan AFP, dadah itu ditemukan dalam kontena yang membawa jubin dari Malaysia ke Melbourne.
Lelaki yang tidak dinamakan dalam kenyataan itu dihadapkan ke Mahkamah Majistret Melbourne pada Jumaat. — Majoriti