Bunuh pesara angkara cemburu, reman anggota tentera disambung


ANGGOTA tentera (baju jingga) diperintah untuk menyambung reman tujuh hari lagi, selepas disyaki membunuh pesara tentera. — NST

EORANG anggota tentera diperintah untuk menyambung reman tujuh hari lagi bermula Khamis, selepas disyaki membunuh pesara tentera yang maut dengan sembilan kesan tikaman pada badan, 13 Oktober lalu.

Majistret Nurfarah Syahidah Mohd Noh membenarkan permohonan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menyambung reman terhadap suspek berusia 34 tahun itu hingga 27 Oktober ini, bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Terdahulu, suspek yang dibawa polis tiba di pekarangan mahkamah, di Taiping, Perak pada jam 8.30 pagi Rabu, dengan memakai baju lokap berwarna oren.

Pada 14 Oktober lalu, suspek yang berkhidmat di sebuah kem tentera di Kamunting, direman tujuh hari hingga Rabu, bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

Ia bagi membantu siasatan kes penculikan dan pembunuhan seorang pesara tentera, yang mayatnya dijumpai di sebuah kawasan terletak kira-kira 60 meter dari tepi jalan di Bukit Sumpitan, Selama.

Mayat mangsa dilaporkan ditemui dengan lima kesan tikaman di bahagian belakang badan dan empat lagi di bahagian depan badan.

Sebelum ini, Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid, dipetik berkata, pesara tentera berusia 42 tahun itu dilapor dilarikan secara paksa oleh dua lelaki dikenalinya dari rumah mangsa di Taman Ngah Ibrahim, Taiping,pada 10 Oktober lalu.

Mior Faridalathrash berkata, hasil soal siasat awal mendapati, punca kejadian dipercayai cemburu kerana mangsa didakwa mempunyai hubungan sulit dengan isteri suspek tentera.

Susulan itu, beliau berkata, kedua-dua suspek direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 dan 363 Kanun Keseksaan.

Selain tentera terbabit, seorang lagi suspek yang juga lelaki berusia 31 tahun dan bekerja sendiri, direman hingga 22 Oktober ini bagi membantu siasatan kes — Berita Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

tentera, mahkamah, reman