'Sajat boleh dicari, kenapa Jho Low, Nik Faisal tidak boleh?'


  • Politik
  • Rabu, 20 Okt 2021

MAHKAMAH Rayuan membenarkan pelepasan sementara pasport Najib bagi membolehkan beliau melawat anak perempuannya,yang akan bersalin di Singapura. — The Star

DATUK Dr Mohd Puad Zarkashi menempelak tindakan Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (C4), yang membidas kerajaan berikutan bekas Perdana Menteri kelima, Datuk Seri Najib Razak memperoleh semula pasportnya untuk pulang ke Singapura.

Anggota Majlis Tertinggi Umno itu berkata, C4 turut mempersoalkan bagaimana kerajaan akan memastikan Najib tidak akan melarikan diri, sama seperti ahli perniagaan yang menjadi buruan, Low Taek Jho dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC International Sdn Bhd, Nik Faisal Ariff Kamil.

Mohd Puad berkata, C4 sepatutnya mempersoalkan alasan bekas Perdana Menteri keenam,Tun Dr Mahathir Mohamad dan Polis Diraja (PDRM), berikutan gagal membawa pulang Jho Low dan Nik Faisal.

"Sajat (usahawan kosmetik) boleh dicari, kenapa Jho Low dan Nik Faisal tidak boleh?" soalnya menerusi hantaran di laman Facebook pada Rabu.

Terdahulu, C4 mendesak Jabatan Peguam Negara (AGC), termasuk pasukan pendakwaan supaya menjelaskan mengapa tiada bantahan dibuat terhadap permohonan Najib untuk mendapatkan pasport antarabangsanya secara sementara.

C4 berkata, adalah mengejutkan bekas Perdana Menteri itu dibenarkan melakukan perjalanan luar negara, selepas mengambil kira beliau sudah dijatuhkan hukuman dalam kes rasuah dan pecah amanah jenayah (CBT).

Mahkamah Rayuan pada Isnin membenarkan pelepasan sementara pasport Najib bagi membolehkan beliau melawat anak perempuannya, Nooryana Najwa, yang akan bersalin di Singapura.

Mengulas lanjut,Mohd Puad menegaskan, sekiranya Najib mahu melarikan diri, beliau boleh berbuat demikian melalui jalan tikus, selain boleh memohon suaka politik.

"Tetapi Najib dan Rosmah pilih turun naik mahkamah lawan puluhan tuduhan selektif.

"Pusat C4 jangan retorik. Bongkar Pandora Papers dan kenapa CEO (Ketua Pegawai Eksekutif) LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri) letak jawatan," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Puad Zarkashi, Najib Razak, C4