Kertas Pandora: SPRM belum mulakan siasatan


  • Primer
  • Isnin, 25 Okt 2021

WAN Junaidi juga memberitahu, BNM telah meningkatkan pemantauan dan perisikan dalam mengesan aktiviti kiriman wang tanpa lesen. — The Star

SIASATAN terhadap laporan Kertas Pandora masih lagi belum dilakukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau berkata, SPRM bagaimanapun dalam proses mendapatkan maklumat lanjut berhubung pendedahan tersebut.

Katanya, SPRM juga mengadakan perbincangan dengan agensi-agensi lain yang berkaitan termasuklah dengan Bank Negara Malaysia (BNM).

“Perbincangan itu bagi memastikan koordinasi siasatan berhubung perkara ini berjalan lancar.

“Kerajaan juga tidak akan mengganggu pihak berkuasa sekiranya terdapat laporan terhadap mana-mana pihak atau individu yang memerlukan siasatan lanjut dijalankan terhadap mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) dalam sesi pertanyaan jawab lisan di Dewan Rakyat pada Isnin.

Anwar bertanyakan kesediaan kerajaan untuk menyiasat berikutan pendedahan Kertas Pandora yang melibatkan anggota pentadbiran, ahli Dewan Rakyat dan bekas anggota pentadbiran negara.

Wan Junaidi turut memaklumkan bahawa BNM telah meningkatkan pemantauan dan perisikan dalam mengesan aktiviti kiriman wang tanpa lesen.

Katanya lagi, tindakan itu menyumbang kepada peningkatan aktiviti penguatkuasaan menyasarkan aktiviti kiriman wang tanpa lesen sama ada aktiviti bersindiket dan juga operator-operator runcit.

“Bagi tempoh 2017 hingga 2020, tindakan penguatkuasaan telah dipertingkatkan dengan 64 kes telah didakwa di mahkamah.

“Pendakwaan itu melibatkan lebih RM11 juta jumlah denda dan perlucuthakan harta,” ujarnya.

Sementara itu, beliau turut menegaskan bahawa laporan pihak The Coverage berhubung pengaliran keluar dana sebanyak RM1.8 trilion dana nama individu lain seperti ahli-ahli keluarga bekas Perdana Menteri tidak merujuk kepada Kertas Pandora semata-mata.

Jelasnya, maklumat pengaliran dana tersebut sebaliknya dinyatakan dalam laporan Global Financial Integrity (GFI) manakala nama-nama tambahan tersebut adalah daripada pendedahan-pendedahan lain oleh Pusat Kewartawanan Penyiasatan Antarabangsa (ICIJ) seperti Paradise Papers dan Panama Papers.

“Laporan GFI mengenai aliran keluar kewangan haram bagi Malaysia adalah terlebih nyata (overstated) kerana ia tidak mengambil kira ‘Rotterdam effect’ serta menganggap 'errors and omissions' (E&O).

“Ia sebenarnya timbul akibat percanggahan dalam proses kompilasi data sebagai bersamaan dengan aliran kewangan haram,” hurainya.

Tambahnya, mengaitkan pendedahan yang dibuat oleh ICIJ dan laporan yang dikeluarkan oleh GFI adalah sesuatu yang kurang tepat.

Ia boleh mengelirukan kerana kedua-duanya merupakan organisasi yang berbeza dengan pelaporan yang berbeza. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram