Polis terima empat laporan berhubung Kertas Pandora


  • 112
  • Sabtu, 16 Okt 2021

ABD Jalil mengesahkan dua kertas siasatan berhubung Kertas Pandora sudah pun dibuka

PENGARAH Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan mengesahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima empat laporan berkait isu Kertas Pandora dan dua daripadanya sudah pun disiasat.

Satu daripada kertas siasatan sudah pun dirujuk kepada Bank Negara Malaysia (BNM) pada 14 Oktober manakala satu lagi akan dirujuk pada Isnin ini (18 Oktober).

"Polis turut melakukan rakaman percakapan pengadu,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

Berhubung dua lagi laporan yang diterima, Abd Jalil berkata, ia diklasifikasi sebagai tiada tindakan lanjut kerana berkaitan aktiviti penyerahan memorandum yang menggesa siasatan dilakukan.

Kertas Pandora adalah pendedahan dokumen sulit golongan kaya dan berpengaruh dunia yang menyembunyikan kekayaan dengan menggunakan perkhidmatan ‘offshore’ atau syarikat berpangkalan di luar negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Sabtu juga berkata, kerajaan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang terbabit dalam pendedahan Kertas Pandora.

Pada Isnin lalu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dilaporkan berkata, BNM sedia bekerjasama dengan agensi penguat kuasa undang-undang bagi memantau dan menyiasat dokumen terkandung dalam Kertas Pandora yang membabitkan individu dari negara ini. — Majoriti