Sektor perindustrian, teknologi maklumat China kekal kukuh


  • Bizz
  • Khamis, 21 Okt 2021

CHINA kini dalam rangka meluaskan pengaplikasian teknologi 5G+internet perindustrian. — The Star

SUMBANGAN rantai bekalan yang terjamin serta pemerkasaan transformasi dan inovasi merupakan antara faktor prestasi sektor perindustrian dan teknologi maklumat China kekal kukuh.

Perkara itu dikukuhkan lagi dengan nilai tambah industri pembuatan berteknologi tinggi untuk tiga suku pertama 2021 meningkat 20.1 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.

Menurut jurucakap Kementerian Perindustrian dan Teknologi Maklumat (MIIT), Luo Junjie, ekonomi domestik didorong oleh penggerak baharu termasuk kenderaan tenaga alternatif, robot perindustrian, peralatan perubatan dan sebagainya.

"Industri baharu seperti data raya, realiti maya (VR), fotovolta pintar, peralatan sukan ais dan salji, jualan menerusi penstriman langsung, serta teleperubatan juga berkembang pesat," katanya.

Tambahnya lagi, dalam tempoh itu, jumlah urus niaga telekomunikasi meningkat 28 peratus dengan pendapatan menokok sebanyak 8.4 peratus.

Katanya lagi, terdapat 1.16 juta stesen pemancar 5G di China pada masa ini yang diakses oleh 450 juta pengguna.

"Manakala rangkaian optik gigabit mampu meliputi lebih 200 juta keluarga.

"Selain itu, lebih 1,800 projek 5G+internet perindustrian sedang dalam pembinaan, bertujuan meluaskan pengaplikasian teknologi berkenaan dalam sektor utama ekonomi domestik," ujarnya.— Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram