Transformasi digital tingkat daya tahan ekonomi negara


  • Bizz
  • Khamis, 21 Okt 2021

EKONOMI digital dijangka menyumbang 22.6 peratus dalam KDNK menjelang 2025. — Gambar hiasan/Agensi

MALAYSIA perlu merebut peluang transformasi digital kerana ia bukan sahaja kritikal terhadap usaha pemulihan ekonomi Malaysia, tetapi meningkatkan daya tahan ekonomi negara pada masa akan datang.

Memetik kajian daripada syarikat rundingan ekonomi strategik AlphaBeta, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, transformasi digital berpotensi mewujudkan nilai ekonomi tahunan di Malaysia sehingga RM257.2 bilion menjelang 2030.

"Dalam tempoh yang mencabar ini, rakyat Malaysia telah menunjukkan daya tahan yang luar biasa berikutan kita berkembang dan menyesuaikan diri dengan perubahan situasi disebabkan pandemik ini.

"Ekonomi dan teknologi digital adalah penting untuk membantu perniagaan kekal bertahan, membolehkan pelajar meneruskan pembelajaran, pencari kerja kekal meningkatkan kemahiran melalui kursus dalam talian, dan keluarga pula kekal berhubung,” katanya dalam ucapan pada majlis 'Grow With Google' yang diadakan secara maya pada Khamis.

Tambah Mustapa, Malaysia kekal komited untuk mencapai sasaran menjadi negara termaju dari segi teknologi, berpacukan digital dan peneraju ekonomi digital serantau menjelang 2030, seperti yang ditetapkan dalam inisiatif MyDIGITAL.

Melalui inisiatif yang dilaksanakan, beliau berkata, ekonomi digital dijangka menyumbang 22.6 peratus kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia menjelang 2025 dan menjana 500,000 peluang pekerjaan baharu.

"Lebih banyak peluang untuk perniagaan membangun dan berkembang dengan aliran pendapatan digital bagi meningkatkan kecekapan kos melalui teknologi awan,” ujarnya lagi.

Jelas beliau, kerajaan menyasarkan 875,000 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PKS) memanfaatkan e-dagang menjelang 2025 selain matlamat untuk menjadikan 80 peratus daripada perkhidmatan kerajaan secara dalam talian pada tahun yang sama.

Menurutnya, sasaran itu dibuat berikutan kerajaan yang menggunakan digital akan meningkatkan kecekapan, keberkesanan dan ketelusannya.

"Kami yakin mengenai kepentingan awam-swasta iaitu sektor swasta harus menjadi rakan niaga yang bersama-sama memacu MyDIGITAL supaya kita boleh mencapai matlamat ekonomi digital.

"Bagi pihak kita, kerajaan akan menjadi pemangkin, mewujudkan persekitaran dasar yang memudahkan agar pihak swasta boleh membawa modal dan kemahiran yang diperlukan untuk transformasi digital,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram