Warisan tidak akan tanding semua kerusi Parlimen


  • Politik
  • Ahad, 24 Okt 2021

WARISAN tolak dakwaan akan bertanding semua kerusi Parlimen.

PARTI Warisan Sabah (Warisan) tidak akan bertanding di semua kerusi Parlimen seluruh negara pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti, kata Ketua Penerangannya, Datuk Awang Ahmad Sah Awang Sahari.

Beliau berkata, Presiden parti Datuk Seri Mohd Shafie Apdal ada menyatakan kesediaan parti itu untuk bertanding di kawasan tertentu di Semenanjung pada sesi dalam talian bersama wartawan kanan negara baru-baru ini.

"Bagaimanapun, beliau (Mohd Shafie) tidak menyatakan berapa jumlah kerusi dan kawasan yang akan ditandingi, perkara ini (kawasan dan kerusi ditandingi) masih dalam pertimbangan dan perbincangan di peringkat pusat," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Pada 20 Oktober lepas dalam sesi itu, Mohd Shafie juga dilapor berkata, rancangan Warisan mengembangkan sayapnya ke Semenanjung berjalan lancar dan parti itu akan menumpukan kepada pendekatan pelbagai kaum dalam usahanya berkembang merentas Laut China Selatan.

Awang Ahmad Sah mendakwa, perkara tersebut telah menarik perhatian ramai, khususnya pemerhati dan pengikut perkembangan politik sehingga ada yang sanggup menabur fitnah di media sosial kononnya Warisan akan bertanding di semua kerusi Parlimen pada PRU15.

"Pada masa ini semua pemimpin Warisan di setiap peringkat sentiasa fokus mengangkat isu dan permasalahan rakyat yang memerlukan perhatian dan tindakan segera," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Shafie Apdal, Warisan, Awang Ahmad