Adun Sindumin secara rasmi keluar Warisan


  • Politik
  • Jumaat, 08 Okt 2021

YUSOF Yacob akhirnya sah keluar Warisan dan menjadi Adun Bebas.

AHLI Dewan Undangan Negeri (Adun) Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob akhirnya sah keluar Parti Warisan Sabah (Warisan) apabila mengumumkan perkara itu secara rasmi pada Jumaat.

Beliau yang juga bekas Ketua Penerangan Warisan mengumumkan perkara itu pada sidang akhbar di Kota Kinabalu.

Beliau juga mengumumkan sokongannya kepada kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai Adun Bebas.

Hasratnya untuk meninggalkan Warisan sudah dinyatakan pada Sabtu lalu dan beliau mengambil keputusan itu demi rakyat serta mahu membantu rakyat di kawasannya.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada September tahun lalu, Yusof mewakili Warisan berjaya menewaskan lima calon lain dengan jumlah undi sebanyak 5,415.

Beliau yang juga Ketua Bahagian Warisan Sipitang adalah antara pemimpin terawal dalam parti itu.

Dengan pengumuman Yusof itu, Warisan kini tinggal 31 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi pada tahun lalu manakala kerajaan GRS kini memiliki 39 kerusi. — Majoriti

Yusof Yacob, Sindumin, Warisan