Masih awal nilai prestasi kerajaan baharu, kata Warisan


  • Politik
  • Rabu, 06 Okt 2021

MOHD Shafie mahu kerajaan memberi tumpuan kepada pembangunan dan peluang pekerjaan di Sabah serta Sarawak.

PRESTASI kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob masih terlalu awal untuk dinilai kerana tempoh pentabdiran belum mencapai usia 100 hari, kata Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Ujar Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal, beliau bagaimanapun memuji usaha dilakukan oleh kerajaan dalam mengatasi pandemik Covid-19.

"Saya melihat Kementerian Kesihatan di bawah kepimpinan Khairy Jamaluddin mempunyai pencapaian.

"Namun, Khairy perlu teliti semula punca sebenar kadar kematian akibat Covid-19 yang mencecah 100 hingga 200 kematian setiap hari kerana kadar kes positif semakin menurun," jelasnya dalam sesi wawancara khas bersama Majoriti pada Selasa.

Pada 30 September lalu, Ismail Sabri mengarahkan Ahli Jemaah Menteri untuk mengumumkan Kad Laporan Pencapaian Aspirasi Keluarga Malaysia 100 hari kepada rakyat bagi menilai pencapaian prestasi menteri dan kementerian demi kesejahteraan Keluarga Malaysia.

Beliau berkata, prestasi setiap Ahli Jemaah Menteri akan dinilai berdasarkan tiga elemen utama iaitu Penilaian Prestasi Kementerian/Jabatan, Penilaian Kepemimpinan berdasarkan keberkesanan keberhasilan inisiatif, serta Penilaian Persepsi Awam terhadap Ahli Jemaah Menteri dan Kementerian/Jabatan di bawah tanggungjawab mereka

Sementara itu, Mohd Shafie mengingatkan kerajaan agar tidak hanya memberi tumpuan kepada pembangunan Semenanjung Malaysia sahaja tetapi 'memandang' Sabah dan Sarawak.

"Hari itu, saya ada berbincang dengan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Syukri untuk membuka gelembung pelancongan di Sabah seperti Pulau Sipadan dan Semporna.

"Selain itu, saya mengambil contoh, banyak kilang kelapa sawit dibina di Selangor sedangkan Sabah dan Sarawak memiliki ladang kepala sawit terbesar.

"Jika kerajaan memperbanyakkan lagi kilang di Sabah atau Sarawak, banyak peluang pekerjaan boleh diwujudkan dan tidak bergantung kepada buruh import semata-mata," ujarnya.

Dalam pada itu, Mohd Shafie juga menegaskan kerajaan tidak boleh memberi 'tongkat' kepada rakyat pada setiap masa.

"Sebagai contoh, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memberikan Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) kepada rakyat.

"Jika kerajaan ketika itu menggunakan duit berkenaan untuk membina kilang, bayangkan berapa ramai boleh mendapat pekerjaan.

"Nak beri 'tongkat' boleh tetapi perlu ada ukuran. Kalau diberikan setiap masa, nanti tiada perubahan," katanya lagi. — Majoriti