Warisan kekal bersama pembangkang


  • Politik
  • Ahad, 12 Sep 2021

SHAFIE tegaskan Warisan akan tetap kekal di blok pembangkang. β€” Bernama

PARTI Warisan Sabah (Warisan) tidak berniat untuk beralih arah dan akan tetap bersama blok pembangkang, kata Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Presiden Warisan itu membangkitkan perkara terbabit susulan terdapat desas-desus bahawa parti itu mungkin akan menukar pendiriannya untuk bersama kerajaan baharu di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perbincangan mengenai pergeseran politik muncul rentetan kenyataan Shafie pada awal minggu ini bahawa Warisan tidak akan mengemukakan usul undi percaya di Parlimen untuk Perdana Menteri yang baharu dilantik.

Shafie berkata, bukan Warisan atau pembangkang yang perlu mengemukakan usul berkenaan.

"Yang di-Pertuan Agong bertitah dengan jelas (ketika mereka bertemu pada 18 Ogos) bahawa sesiapa yang dilantik sebagai Perdana Menteri harus memberikan suara kepercayaan di Parlimen.

β€œIni semua bergantung kepada kerajaan. Ismail Sabri telah mengangkat sumpah dan sekarang menjadi kewajibannya untuk menghormati keputusan Raja," katanya.

Ismail Sabri mempunyai 114 anggota Parlimen yang menandatangani akuan bersumpah menyokongnya sebagai Perdana Menteri.

"Istana Negara juga telah mengesahkannya dengan menemuduga setiap Anggota Parlimen. Saya tidak melihat sebarang alasan untuk mengelakkan undi percaya yang disahkan oleh Yang di-Pertuan Agong kerana mereka memiliki majoriti,” katanya.

Awal minggu ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, tiada keperluan untuk mengemukakan usul undi percaya terhadap kepimpinan Ismail Sabri di Parlimen bagi menentukan keabsahan pelantikannya.

Beliau berkata, ini memandangkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan menetapkan kuasa melantik Perdana Menteri adalah bawah Yang di-Pertuan Agong.

Warisan bersama Parti Bersatu Sarawak dan Perikatan Bersatu Demokratik Malaysia (Muda) yang masih belum didaftarkan tetap bersama pembangkang, namun ketiga-tiga parti itu bukan anggota gabungan Pakatan Harapan yang diketuai oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim. β€” The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

shafie apdal, warisan, pembangkang