Isu pemandu mabuk: Penguatkuasaan masih lemah


  • Massa
  • Rabu, 08 Sep 2021

PEMANDU lori yang merempuh enam kenderaan pada Selasa didapati positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamin. — The Star

MALAYSIA mempunyai undang-undang yang cukup lengkap dan khusus dalam menangani isu pemandu mabuk atau di bawah pengaruh alkohol.

Namun tanpa penguatkuasaan yang lebih tegas, sia-sia sahaja usaha meminda atau menggubal akta dengan misi kononnya mahu membanteras pemandu yang berisiko mendatangkan kecelakaan kepada orang lain.

Penganalisis Jenayah Datuk Seri Akhbar Satar berkata meskipun negara mempunyai peruntukan undang-undang yang baik menangani isu itu tetapi penguatkuasaannya dilihat agak lemah.

Oleh itu, beliau menggesa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) perlu lebih tegas dalam menguatkuasakan Sistem Pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya (Kejara) selain melakukan pemeriksaan mengejut dengan lebih kerap bagi membendung masalah pemandu lori yang memandu bawah pengaruh dadah.

Beliau berkata sistem Kejara yang membolehkan lesen memandu seseorang itu digantung dan dibatalkan selepas mengutip mata demerit selepas melakukan kesalahan jalan raya dilihat mampu mencegah perkara ini terutamanya, individu yang bekerja sebagai pemandu.

"Di samping itu, penguat kuasa juga perlu kerap meronda dan melakukan pemeriksaan terhadap pemandu dan kenderaan komersial seperti lori dan bas bagi memastikan mereka mematuhi undang-undang selain boleh mengkaji penggunaan kit ujian pantas dadah dan alkohol seperti yang digunakan di negara-negara luar," katanya.

Beliau mengulas mengenai insiden seorang pemandu lori yang didapati positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamin selepas kenderaan yang dipandunya merempuh lima kenderaan lain dalam kemalangan di Jalan Ipoh, di sini, Isnin lepas.

Dalam kejadian pada 2.40 petang itu, lori yang dipandu oleh seorang suspek berusia 25 tahun itu, sedang dalam perjalanan ke Sentul dari Jalan Duta sebelum merempuh dua Perodua Myvi, Proton X70, Honda HRV dan Peugeot 208 FL.

Tambah Akhbar lagi, pihak majikan juga perlu bertegas dan tidak lepas tangan dalam menangani isu berkenaan.

Jelasnya, majikan perlu memastikan pemandu syarikat mereka bebas daripada sebarang pengaruh dadah atau alkohol sebelum dibenarkan bekerja atau mengendalikan jentera berat.

"Perkara ini perlu dilakukan kerana ia bukan hanya membayakan diri malah, mengancam nyawa orang lain.

"Dengan pemantauan dan pemeriksaan berkala oleh majikan boleh memberi tanda amaran jika pekerja mereka terlibat dengan penyalahgunaan dadah," ujarnya.

Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat Tan Sri Lee Lam Thye turut menyuarakan pendapat sama tentang tanggungjawab majikan tentang hal ini.

Katanya, majikan harus mengambil tanggungjawab dan bersikap tegas terhadap pekerja mereka yang didapati menyalahgunakan dadah.

"Mereka kerap memberi alasan letih dan perlu membuat perjalanan yang banyak untuk mendapat bayaran yang lumayan.

"Saya berharap, majikan dapat melihat kembali skim gaji golongan pemandu agar mereka menerima upah yang setimpal dan tidak bergantung kepada kekerapan perjalanan untuk mendapatkan gaji yang tinggi," hurainya.

Tambahnya lagi, pekerja juga perlu berani menyuarakan dan menolak untuk melakukan perjalanan yang lebih sekiranya mereka letih.

Hal ini supaya mereka tidak membahayakan pengguna jalan raya yang lain. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

JPJ, lori, rempuh, Akhbar Satar, Lee Lam Thye