'PN bongkak, tamak tuntut 13 kerusi BN'


  • Politik
  • Ahad, 24 Okt 2021

ISHAM mendakwa, PN terutamanya Bersatu tidak mempunyai banyak sokongan dan akar umbi di Melaka.

TUNTUTAN Perikatan Nasional (PN) amat tidak munasabah, malah bongkak dan tamak sekiranya mahu menuntut 13 kerusi sebagai syarat untuk bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Ketua Penerangan BN Selangor, Isham Jalil berkata, hal ini kerana PN terutamanya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak mempunyai banyak sokongan dan akar umbi di Melaka.

"Malah mereka (Bersatu) menang dua kerusi sebelum ini pun sebab pengundi PH (Pakatan Harapan), yang kini tidak lagi bersama mereka.

"Kini, jika mereka (Bersatu) tuntut kerusi terbanyak tetapi mereka mempunyai sokongan dan sumbangan undi dan jentera yang tersikit, tuntutan mereka ini langsung tidak boleh diterima akal malah mengarut," katanya menerusi hantaran di laman Facebook.

Terdahulu, sumber Umno memaklumkan kepada media tempatan, bahawa PAS menuntut lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala Bersatu meminta lapan kerusi DUN sebagai syarat kerjasama dengan Umno bagi menghadapi PRN Melaka.

Pada Pilihan Raya Umum ke14 (PRU14), Umno hanya memenangi 13 kerusi DUN Melaka, Bersatu yang ketika itu bersama PH menang dua kerusi DUN, manakala Pas gagal merebut sebarang kerusi DUN.

Mengulas mengenai perkara itu, Isham berkata, sekiranya tuntutan itu benar, ia bermaksud PN hanya mahu beri Umno sebanyak enam kerusi untuk bertanding pada PRN Melaka.

Daripada jumlah 28 kerusi DUN di Melaka, katanya, jumlah bilangan kawasan Melayu adalah 19 kerusi DUN, manakala sembilan DUN lagi adalah dimiliki kawasan Cina.

Beliau tidak menolak kemungkinan pihak yang menerima atau menyokong tuntutan itu ada udang di sebalik batu atau muslihat.

Justeru, beliau berkata, mana-mana pemimpin Umno yang masih mahu meletakkan kepentingan Bersatu melebihi parti sendiri perlu mengingati dan menghormati keputusan Perhimpunan Agung Umno (PAU) serta akar umbi.

"Jika kita terima tuntutan ini waima beri dua kerusi pun kepada Bersatu, akar umbi dan penyokong kita sendiri akan protes dan besar kemungkinan tidak akan keluar mengundi di kerusi-kerusi tersebut.

"Oleh itu lebih baik kita lawan mereka tiga penjuru sahaja daripada beri mereka kerusi percuma dan mereka memenangkan PH pula.

"Sebab itu kita tidak boleh tunduk dan kita mesti lawan.No Nego, Go Solo," tegasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram