PRN Melaka: Pertembungan sengit tiga penjuru


  • Massa
  • Sabtu, 23 Okt 2021

DEMOGRAFI pengundi dan calon pilihan raya akan memainkan peranan penting dalam menentukan kemenangan parti. — Bernama

PILIHAN Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November dijangka sengit di kebanyakan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berikutan jangkaan pertembungan tiga penjuru membabitkan calon daripada Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH).

Pensyarah Kanan Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain berkata, pertembungan tiga penjuru merupakan perkara yang tidak dapat dielakkan pada PRN berkenaan dan hanya parti yang berjaya mendapat kepercayaan rakyat akan membentuk kerajaan.

Namun menurutnya, dalam landskap politik masa kini, tiada lagi parti yang dilihat dominan dan berkemungkinan kerajaan baharu yang akan terbentuk selepas 20 November kelak merupakan kerajaan campuran dan semua parti memiliki peluang yang sama.

"Kalau tiga penjuru berkesan bagi parti yang menang, mereka (mungkin) akan kekal dengan cara itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). Dulu parti-parti bekerjasama untuk menghadapi pilihan raya bagi membentuk kerajaan, tetapi sekarang parti-parti bertanding atas tiket masing-masing.

"Kerjasama datang selepas pilihan raya. Mungkin parti-parti tak mahu terikat dan lepas pilihan raya baru fikir. Macam di Indonesia, lepas bertanding baru berpakat (untuk bentuk kerajaan),” katanya.

Selain itu, Mohd Izani percaya parti yang mengumumkan siapakah calon Ketua Menteri lebih awal seperti mana yang dilakukan PH sebelum ini, yang menamakan Timbalan Presiden Bersatu ketika itu (kini Presiden Parti Pejuang Tanah Air), Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai calon Menteri Besar Kedah pada PRU14, berkemungkinan boleh mendapat kepercayaan rakyat.

Dalam pada itu, Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM) cawangan Melaka, Shafezah Abdul Wahab pula menjangkakan BN, yang dianggotai Umno, MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) mampu menang, walaupun tanpa sebarang kerjasama daripada PN mahupun Muafakat Nasional (MN) memandangkan Melaka merupakan kubu kuat BN sejak sekian lama.

Dalam masa yang sama, jelasnya, beliau melihat PRN Melaka sebagai sebuah 'prelude' kepada politik Malaysia menuju PRU15 kerana segala bentuk percaturan di Melaka akan menjadi asas kepada rupa bentuk pertentangan di peringkat nasional kira-kira dua tahun akan datang.

"Sokongan orang Melayu di kawasan majoriti Melayu, khususnya luar bandar kepada Umno di Melaka masih kuat dan mereka tidak memerlukan PAS atau Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia). Ini kerana sokongan akar umbi kepada Umno kukuh dan undi yang akan pecah hanya membabitkan saki-baki undi yang tidak menyokong parti itu di kawasan majoriti Melayu.

"Dalam masa yang sama, PN pula dilihat sama ada berisiko kalah teruk atau menjadi kuasa yang memberi saingan sengit dalam PRN kali ini. Bersama PAS atau tidak, Bersatu dilihat tiada peluang di Melaka. Walaupun PAS mungkin sekutu terbaik bagi Bersatu, tidak banyak kelebihan yang dapat diraih daripada kerjasama ini, memandangkan PAS tiada asas yang kukuh di Melaka,” katanya.

Bagaimanapun, kedua-dua pensyarah berkenaan bersetuju demografi pengundi di sesebuah kawasan memainkan peranan penting dalam menentukan kemenangan sesebuah parti selain calon yang bertanding juga akan menjadi perhatian pengundi, sebelum keputusan dibuat pada 20 November kelak. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

analisis, PRN melaka, BN, PH, PN