BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yakin agenda yang dibawa Barisan Nasional (BN) dan Umno dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dapat menambat hati pengundi di Melaka.
Tambah Najib, beliau ada memberikan beberapa cadangan untuk diberi perhatian dan kerajaan negeri supaya dijadikan sebagai agenda terutama sekiranya BN dipilih menerajui semula negeri berkenaan.
"Apa pun Umno dan BN mesti bersedia dalam apa jua keadaan. Saya nak jelaskan di sini, Pengarah Pilihan Raya Umno adalah Datuk Seri Mohamad Hassan, saya dikehendaki bantu kempen habis-habisan.
"Saya akan bersama Mohamad Hassan, saya percaya Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pun akan turun untuk membantu kita dalam kempen," ujar Najib pada Sabtu.
Tambah Najib, beliau turut dijemput berkempen bersama jentera wanita parti berkenaan di peringkat negeri dan nasional.
"Alhamdullilah, saya melihat semangat wanita sangat baik, luar biasa dan bersiap sedia berjuang habis-habisan menjamin kemenangan parti kita," menurutnya.
DUN Melaka dibubarkan pada 4 Oktober lalu susulan tindakan empat Ahli DUN (ADUN) iaitu Datuk Seri Idris Haron (UMNO-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (UMNO-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (BERSATU-Telok Mas) mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kepemimpinan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.
Susulan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 20 November sebagai hari pengundian bagi PRN Melaka.
Selain itu, SPR turut memaklumkan hari penamaan calon ditetapkan pada 8 November manakala tarikh mengundi awal pada 16 November. — Astro Awani
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram