PRN Melaka: Rakyat harus 'ajar' ahli politik erti perpaduan


  • Massa
  • Ahad, 24 Okt 2021

KEWUJUDAN banyak parti politik Melayu dianggap dinamik demokrasi namun adalah wajar menjadikan PRU lalu sebagai pedoman. — Gambar hiasan/The Star

PENGUNDI di Melaka perlu terlebih dulu membuktikan yang rakyat sedang bersatu memerangi apa juga unsur yang mampu menghadirkan situasi pecah belah khususnya dalam kalangan kaum Melayu.

Ketika parti politik makin galak merencana strategi untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada November, kematangan pengundi di negeri itu begitu didambakan untuk ‘mengajar’ mana-mana pihak yang mengheret kepada perpecahan.

Penganalisis politik, Prof Datuk Dr Ismail Sualman berkata, kemunculan banyak parti politik Melayu dianggap dinamik demokrasi, namun adalah wajar menjadikan Pilihan Raya Umum (PRU) lalu sebagai pedoman.

“Cuma yang membezakan adalah falsafah yang dibawa oleh setiap parti. Walaupun ada banyak parti Melayu, ia tidak bererti Melayu berpecah kerana di negara luar juga sama.

“Contohnya kalau di Eropah, ada banyak parti tetapi adakah itu boleh dikatakan ‘Mat Saleh’ berpecah? PRN Melaka memerlukan pengundi yang matang terutamanya pengundi muda.

“Pemilihan perlu dibuat berdasarkan track record kerana politik sekarang berbeza apabila kita dapat lihat banyak lompat parti tanpa ada rasa apa-apa. Saya harap mereka yang lompat parti akan dihukum pada PRN kali ini.

“Tetapi pengundi itu kena matang dalam buat pilihan, mereka perlu berfikiran jauh dan calon yang akan dipilih wajar membawa perubahan,” katanya kepada Majoriti.

Mengulas lanjut mengenai situasi politik negara, Dr Ismail melihat bidang ini tidak ubah seperti perniagaan dan pemilihan pengundi adalah berpaksikan kepada empat asas.

“PRU lalu pilihan pengundi memang disengajakan untuk hukum kerajaan namun bila dah bertukar, nampaknya mereka terpedaya.

“Dalam sains politik ada empat asas, pengundi pilih berdasarkan calon, pilih berdasarkan parti, rekod lampau dan hubungan kekeluargaan.

“Politik ini macam perniagaan, parti akan beri penawaran, manifesto dan soal tunai atau tidak itu soal lain.

"Dengan adanya banyak parti, ia beri pilihan dan pengundi itu sendiri kena pandai memilih calon yang mampu bawa perubahan,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

prn melaka, rakyat, ahli politik