PRN Melaka: PN akan bertanding semua 28 kerusi DUN


  • Politik
  • Jumaat, 22 Okt 2021

MUHYIDDIN berkata, keputusan bertanding dalam 28 kerusi DUN pada PRN Melaka telah mendapat persetujuan semua parti komponen. — The Star

TAN Sri Muhyiddin Yassin berkata, Perikatan Nasional (PN) berkemungkinan akan bertanding di semua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka November depan.

Pengerusi PN itu berkata, secara dasarnya perkara itu sudah dipersetujui semua parti komponen dalam gabungan berkenaan.

Beliau yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, pecahan kerusi antara parti komponen PN bergantung kepada keadaan bagi memastikan kemenangan berpihak kepada PN.

"Itu sebab semalam saya gesa segerakan rundingan antara parti dalam PN.

"Pada dasarnya mereka bersetuju 28 kerusi DUN yang dipertandingkan di Melaka kita bahagikan mengikut situasi dan keadaan dan diharapkan kita dapat mencapai kejayaan.

"Saya fikir besar kemungkinan kita bertanding di semua kerusi dan 28 kerusi dibahagikan di antara parti yang saya sebutkan tadi (Bersatu, Pas dan Gerakan)," katanya.

Muhyiddin berkata, beliau sudah menjangkakan keputusan Umno untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu.

"Saya dah agak perkara itu... responsnya begitu... tapi sebagai satu tindakan berhemah di peringkat kita... kita nak dengar mereka kata sah... dan sekarang mereka kata no way dan itu fakta.

"Saya dah maklumkan di Melaka dah kita bersedia untuk hadapi apa saja bentuk pertandingan sama ada secara dua, tiga atau empat penjuru... itu tidak menjadi masalah bagi kita," jelasnya.

Terdahulu, Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sekali lagi mengulangi pendirian parti itu untuk tidak mengadakan sebarang kerjasama dengan Bersatu pada PRN Melaka. — Astro Awani

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Muhyiddin, PRN Melaka, DUN