'Tak perlu bergabung dengan pemimpin pengkhianat'


  • Politik
  • Khamis, 21 Okt 2021

ANTHONY memberitahu kempen PH pada PRN Melaka kelak perlu berpaksikan kepada dasar dan rekod pentadbiran PH di Melaka. — The Star

PAKATAN Harapan (PH) perlu menolak pemimpin yang pernah mengkhianati gabungan parti itu di Melaka sehingga mengakibatkan mereka tumbang di negeri itu, kata Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke.

Menurut beliau, DAP sudah membuat ketetapan yang tegas dan jelas melalui mesyuarat mengenai perkara tersebut.

Anthony berkongsi perkara itu menerusi satu hantaran di akaun media sosial Facebook miliknya pada Khamis.

Beliau berkata demikian sebagai membidas pendirian Naib Presiden PKR, Tian Chua yang sanggup bekerjasama dengan mereka yang disifatkan pengkhianat untuk meraih kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Ia juga sebagai maklum balas terhadap kenyataan Tian Chua bahawa PH perlu bekerjasama dengan mana-mana pihak yang mampu membantu mereka mengembalikan kemenangan di Melaka seperti ketika Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 pada 2018 lalu.

Katanya lagi, kenyataan dibuat Tian Chua hanyalah pandangan peribadi dan sama sekali tidak melambangkan suara konsensus PH.

Jelasnya lagi, kempen PH pada PRN Melaka kelak perlu berpaksikan kepada dasar dan rekod pentadbiran pakatan itu di bawah bekas Ketua Menterinya, Adly Zahari selama 22 bulan lalu.

Sebelum ini, empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali sehingga menyebabkan DUN negeri itu dibubar pada 4 Oktober lalu.

Salah seorang mereka adalah ADUN Bebas, Datuk Norhizam Hassan Baktee yang sebelum ini adalah pemimpin dalam DAP namun dipecat parti berikutan membuat keputusan menyokong gabungan politik baharu di negeri itu, sekali gus menyebabkan PH tumbang di Melaka.

Namun Norhizam bersama tiga lagi ADUN iaitu bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron, ADUN Telok Mas, Datuk Noor Effandi Ahmad dan ADUN Pantai Kundor Datuk Nor Azman Hassan menyatakan hasrat untuk bertanding atas tiket PH pada PRN Melaka, 20 November ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Anthony Loke, Tian Chua, PH, DAP, PKR, PRN, Melaka, pengkhianat