Umno sudah lama 'berpatah arang, berkerat rotan'


  • Politik
  • Jumaat, 22 Okt 2021

AHMAD Zahid menegaskan Umno tidak pernah terlewat buat pendirian dan sudah muktamadkan tidak akan bekerjasama dengan Bersatu. — Bernama.

TIDAK timbul soal Umno lambat buat keputusan kerana parti itu sudah pun ada pendirian sendiri berkaitan hubungan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti itu sudah pun membuat keputusan untuk tidak bersama Bersatu sejak daripada Perhimpunan Agung lalu.

"Untuk Bersatu kita sudah buat keputusan. Kita tidak akan pernah bekerjasama dengan mereka.. noktah. Tak lambat dah.. dulu dah..masa Perhimpunan Agung Umno kita dah buat keputusan kita.

"Itulah keputusan kita dan kita muktamadkan tidak akan bekerjasama dengan Bersatu," katanya selepas mengadakan pertemuan dengan Umno Bahagian Hang Tuah Jaya, Melaka pada Jumaat.

Terdahulu, Presiden Bersatu yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin pernah menjelaskan yang pihaknya tidak boleh menunggu terlalu lama ‘rakan di sebelah sana’ untuk membuat keputusan sama ada sedia bekerjasama atau tidak, hanya kerana mahu mengelak pertembungan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid meluahkan keyakinan yang Barisan Nasional (BN) mampu meraih kemenangan pada PRN Melaka.

Keyakinan itu dibuat selepas menyaksikan masalah yang sedang dihimpit ‘pihak sebelah sana' ketika ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 20 November sebagai tarikh mengundi PRN Melaka.

Penamaan calon dijadualkan berlangsung pada 8 November manakala undi awal dilakukan pada 16 November. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

ahmad zahid, umno, bersatu, prn melaka