PERIKATAN Nasional (PN) bersedia untuk bertanding sendirian dalam Pilihan Raya Negeri (PRN Melaka) sekiranya Umno dan BN masih tidak memberi sebarang petanda untuk bekerjasama.
Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, meskipun PN sentiasa terbuka bekerjasama dengan mana-mana parti lain namun parti berkenaan tidak boleh menunggu terlalu lama untuk membuat keputusan.
“Masa sudah tak lama. Saya kira kalau pihak di sana (Umno) setakat hari ini (Khamis) tidak ada menunjukkan apa-apa petanda untuk bekerjasama, berunding dan berbincang, saya hari ini (Khamis) boleh buat keputusan bahawa kita akan bertanding tiga penjuru dalam PRN Melaka," ujarnya.
Antara parti politik yang berada di bawah gabungan PN ialah Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan).
Ujarnya, gabungan tersebut akan mengikut keputusan yang dibuat di peringkat pusat jika masih tiada isyarat jelas daripada parti lain.
“Persoalannya adalah adakah pihak sana bersedia (bekerjasama)? Kita tidak dapat jawapan tegas dan jelas. Masa begitu singkat dan juga sudah diumumkan tarikh penamaan calon, pemilihan dan pengundian.
“Sebagai sebuah parti gabungan dalam Perikatan Nasional (PN), bagi saya ini penting dan kita tidak boleh lengah. Kalau tidak ada isyarat yang jelas kita akan ikut apa keputusan yang dibuat PN Kebangsaan," katanya ketika ketika ditemui pemberita selepas mempengerusikan sesi libat urus bersama pemain industri pelancongan negeri Melaka di Melaka pada Khamis.
Pada Selasa, Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti berkenaan masih belum memuktamadkan sebarang keputusan kerjasama dengan mana-mana pihak untuk berdepan PRN Melaka pada November depan.
Jelas Ahmad Zahid, keputusan rasmi itu akan diumumkan apabila mesyuarat biro politik dan juga Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno diikuti BN yang akan diadakan pada minggu depan atau diputuskan sebelum hari penamaan calon.
Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) pada Isnin menetapkan tarikh penamaan calon akan diadakan pada 8 November depan. — Sinar Harian
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram