Pengundi muda tidak lagi sokong ikut mak ayah — Pemuda PAS Kelantan


  • Politik
  • Sabtu, 23 Okt 2021

MOHD Ariff mahu barisan kepimpinan baharu Pemuda PAS atur strategi dekati golongan muda. — Agensi

KETUA Pemuda PAS Kelantan, Mohd Ariff Abdullah mahu barisan kepimpinan baharu memberi tumpuan mengatur strategi bagi memenangi hati anak muda terutama berusia 18 hingga 21 tahun yang akan menjadi pengundi baharu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Beliau berkata, perkara ini amat penting bagi memastikan kemenangan PAS di Kelantan berikutan dianggarkan lebih 342,000 individu terdiri daripada kumpulan usia berkenaan yang akan menjadi pemilih berdaftar di negeri tersebut pada PRU15.

Mohd Ariff berpandangan walaupun golongan berkenaan masih 'segar' dalam dunia politik tetapi mungkin 'kematangan' mereka untuk memilih pemimpin tidak sama seperti generasi sebelumnya.

"Tidak kira siapa pun yang menggantikan Kabinet baharu DPP Kelantan ini. Kita perlu mengatur gerak langkah bagaimana nak pikat pengundi muda ini kerana saya yakin mereka (pengundi 18 tahun) tidak memilih berdasarkan parti.

"Kalau dahulu mak dan ayah mereka (sokong) PAS, maka anak pun PAS tetapi trend terkini terutama generasi 18 hingga 21 tahun ini, mereka mungkin memilih berdasarkan isu semasa dan melihat parti mana yang boleh bersama-sama dengan rakyat," jelasnya.

Tambah beliau, barisan DPP Kelantan harus menguasai media sosial dalam memenangi jiwa anak muda dengan memberikan penerangan, tazkirah atau apa sahaja kebaikan yang boleh ditawarkan kepada golongan itu berlandaskan konsep membangun bersama Islam.

"Kita nak orang muda yang bersama dengan PAS kerana mereka faham pendirian serta yakin kebolehan PAS dan kita gunakan ruang media yang ada ini untuk memenangi jiwa orang muda," katanya yang memegang jawatan Ketua Pemuda PAS Kelantan sejak 2019.

Dalam perkembangan berkaitan, Dewan Pemuda PAS (DPP) Kelantan pada Sabtu mengumumkan barisan kepimpinan dan ahli jawatankuasanya yang baharu bagi sesi 2021 hingga 2023.

Pengumuman berkenaan dibuat pada Muktamar Tahunan DPP Kelantan ke-62 yang berlangsung di sebuah hotel di Kota Bharu, Kelantan selain turut melaksanakan pengundian melibatkan 132 kertas undi bagi pemilihan barisan kepimpinan baharu itu.

Antara yang membarisi pimpinan DPP Kelantan sesi 2021 hingga 2023 ialah Mohd Kamal Mohamad apabila berjaya memperoleh majoriti iaitu 86 undi untuk menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Pemuda PAS Kelantan sekali gus menggantikan penyandang jawatan itu, Mohd Ariff Abdullah.

Selain itu, Timbalan Ketua Pemuda PAS Kelantan dimenangi Mohd Abdul Malik Abdul Karim manakala Naib Ketua Pemuda PAS Kelantan pula digalas oleh Mohd Firdaus Mohd Nawi dan kedua-duanya menang tanpa bertanding. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Pas, pemuda, pemilihan, pimpinan, sesi, Kelantan