KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mewujudkan saluran aduan khas untuk peniaga dan pengguna mengemukakan sebarang isu serta masalah berkaitan perkhidmatan penghantaran makanan (p-hailing).
Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, mereka boleh mengemukakan aduan melalui e-mel kepada [email protected] bagi memudahkan pihak kementerian mengambil tindakan sewajarnya.
Jelas beliau, pihaknya serius dalam memastikan pemain industri itu menambah baik perkhidmatan dan merangka penyelesaian secara komprehensif untuk mewujudkan ekosistem perniagaan secara menang-menang untuk semua pihak berkepentingan termasuk peniaga dan pengguna.
"Ada peniaga memberitahu bahawa apa yang mereka dapat (bayaran) bercanggah atau berkurangan daripada yang sepatutnya. Tetapi apabila mereka (peniaga) mengadu kepada syarikat p-hailing yang berkenaan, syarikat tersebut mendakwa tersalah kira dan sebagainya.
"Jadi kita wujudkan saluran aduan khas tersebut supaya bukan sahaja peniaga malah pengguna yang mempunyai sebarang masalah boleh mengemukakan aduan kepada kita,” katanya pada Sabtu.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan program Jualan Koperasi Prihatin Rakyat (JKPR) di Koperasi Felda Bukit Bading Terengganu (KOBADING) Berhad di Felda Bukit Bading, Kuala Berang, Hulu Terengganu, Terengganu .
Dalam pada itu, Rosol memaklumkan KPDNHEP menerima 1,903 aduan mengenai perkhidmatan syarikat p-hailing FoodPanda Malaysia Sdn Bhd (FoodPanda) sepanjang tahun lepas manakala 946 aduan sejak Januari hingga Ogos tahun ini.
"Pada 2020, KPDNHEP menerima 30 aduan mengenai GrabFood dan 43 aduan diterima mengenai syarikat p-hailing tersebut sejak Januari hingga Ogos tahun ini,” katanya.
Ujar beliau, susulan pelbagai isu dibangkitkan pengguna mengenai khidmat p-hailing, pihaknya mengambil langkah proaktif dengan giat mengadakan libat urus termasuk pertemuan dengan dua pemain utama industri itu khususnya FoodPanda dan GrabFood bagi menyelesaikan segala isu berbangkit termasuk kelewatan pembayaran jualan makanan kepada peniaga dan caj komisen yang tinggi.
"Ada syarikat p-hailing mendakwa kelewatan pembayaran tersebut disebabkan masalah sistem mereka. Jadi apabila kita buat libat urus dengan pihak p-hailing, mereka berjanji untuk menambah baik sistem mereka. Ada juga syarikat yang hendak menurunkan kadar komisen mereka,” jelasnya. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram