BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad didakwa langsung tidak menjawab kepada persoalan sebenar, kenapa kerajaan Pakatan Harapan (PH) pimpinannya tidak meneruskan permohonan semakan ke atas penghakiman kes Pulau Batu Puteh di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 2018.
Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, dengan bukti baharu yang ditemukan, persoalan sebenar yang dibangkitkan ialah apa sebab sebenarnya kerajaan PH pada masa itu tidak meneruskan semakan terhadap penghakiman Pulau Batu Puteh.
"Benar keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) tidak boleh dirayu tetapi dengan timbulnya bukti terbaharu, satu permohonan untuk semakan dikemukakan oleh Malaysia pada Februari 2017.
"Pada 30 Jun 2017, Malaysia juga mengemukakan permohonan untuk ICJ mentafsirkan penghakimannya pada 2008 tentang Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.
“ICJ bersetuju untuk mendengar penghujahan Malaysia dengan memberikan tarikh untuk pendengaran semakan.
"Apa Tun Dr Mahathir lupa bahawa dua daripada bukti baharu yang ditemui itu adalah dokumen yang hanya boleh diakses setelah 2008.
“Secara undang-undang, dokumen itu hanya boleh diakses setelah tamat tempoh kerahsiaannya," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.
Pada 14 Oktober, Sultan Johor, Sultan Ibrahim terkilan dengan tindakan yang seolah-olah mengalah sebelum masuk gelanggang kerana tidak meneruskan permohonan semakan ke atas penghakiman kes Pulau Batu Puteh sedangkan ada penemuan bukti baharu yang berpihak kepada Malaysia.
Pada 20 Oktober, Dr Mahathir menerusi catatan dalam laman web beliau berkata, percubaan secara rundingan untuk Malaysia memiliki semula Pulau Batu Puteh bertahun-tahun tidak berjaya, malah Singapura masih mendakwa pulau itu miliknya.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan jemaah menteri sepakat menubuhkan pasukan petugas khas membuat kajian menyeluruh, meneliti dan mencadangkan pilihan bersesuaian dengan turut mendapatkan pandangan pakar undang-undang antarabangsa berkenaan semakan semula pulau itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram