'Kenapa kes baharu, kematian Covid-19 Malaysia lebih tinggi berbanding Indonesia?'


  • Politik
  • Jumaat, 22 Okt 2021

KIT SIANG tuntut penjelasan Khairy berkaitan lonjakan kes dan angka kematian akibat Covid-19 di negara ini. — The Star

LIM Kit Siang menuntut penjelasan Khairy Jamaluddin alasan Malaysia mempunyai jumlah jangkitan dan angka korban Covid-19 lebih tinggi berbanding Indonesia, sejak beliau mengangkat sumpah sebagai Menteri Kesihatan pada 30 Ogos lalu.

Veteran DAP itu berkata, jumlah keseluruhan jangkitan Covid-19 di negara ini adalah sebanyak 1,725,357 kes pada 30 Ogos.

Katanya, angka itu meningkat sebanyak 688,235 kes kepada 2,413,592 kes pada Khamis.

Manakala, Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, jumlah keseluruhan penularan Covid-19 di Indonesia pada 30 Ogos adalah sebanyak 4,079,267 kes.

Jelasnya, angka jangkitan di negara jiran itu pada Khamis meningkat sebanyak 158,567 kes kepada 4,237,832 kes.

"Ini bermakna sepanjang 53 hari Khairy menjadi Menteri Kesihatan, Malaysia merekodkan lebih setengah juta kes lebih banyak berbanding Indonesia?

"Adakah Khairy mempunyai penjelasan mengenai perkara ini?," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Kit Siang berkata, masalah yang timbul ketika ini bukan hanya membabitkan kes baharu Covid-19, malah angka kematian akibat wabak itu turut terlibat.

"Pada 30 Ogos, kes kematian terkumpul akibat Covid-19 adalah sebanyak 15,382. Angka ini meningkat sebanyak 11,852 kepada 28,234 semalam (Khamis).

"Jumlah kematian terkumpul akibat Covid-19 di Indonesia pada 30 Ogos adalah sebanyak 132,491. Ia meningkat sebanyak 10,629 kepada 143,120 semalam (Khamis)," jelasnya.

Mengulas lanjut, Kit Siang mengingatkan Khairy agar tidak cukup hanya sekadar menjadi Menteri Kesihatan yang lebih baik daripada pendahulunya, malah beliau juga perlu memastikan Malaysia tidak menunjukkan prestasi terburuk dalam menguruskan Covid-19 di rantau ASEAN.

Beliau berkata, rakyat bimbang negara ini masih tidak mampu untuk menurunkan jumlah kes harian baharu wabak itu ke bawah paras 5,000 bagi tempoh 19 hari, sejak kes menurun ke paras julat empat angka pada 3 Oktober lalu.

Sementara itu, katanya, Indonesia pula telah mencatatkan jumlah kes harian baharu Covid-19 pada paras julat tiga angka selama tujuh hari berturut-turut.

"Semalam, Malaysia merekodkan 6,210 kes baharu Covid-19 dengan 96 kematian termasuk 21 kematian di luar fasiliti (BID), sementara Indonesia merekodkan 633 kes baharu Covid-19 dengan 42 kematian — satu pertiga kes baharu Covid-19 di Malaysia dan 45 peratus daripada kematian harian baharu akibat Covid-19 di Malaysia.

"Sedangkan jumlah penduduk Indonesia adalah lapan ganda lebih ramai berbanding Malaysia.

"Adakah sistem kesihatan awam Malaysia begitu teruk dan menyedihkan jika dibandingkan dengan Indonesia? Adakah Khairy tidak mempunyai sebarang penjelasan mengenai perkara ini?" soalnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram