PETUGAS di sebuah stesen televisyen yang maut dalam insiden nahas pelanggaran dengan sebuah kereta di Cyberjaya pada jam 9 pagi Jumaat sempat berkongsi status membeli basikal baharu di page Facebook TREK Owners Malaysia.
Tinjauan Majoriti di laman Facebook itu mendapati, mangsa yang dikenali sebagai Jeffry Aziz, 57, berkongsikan gambar basikal jenis TREK miliknya pada 15 Oktober lalu sambil berkongsi kapsyen, 'new bike days'.
Status itu turut disertakan tanda pagar #treksegafredo #projectone #emonda dan #SLR.
TANGKAP layar status Allahyarham Jeffry Aziz di page Facebook TREK Owner Malaysia pada 15 Oktober lalu.
Insiden yang menimpa mangsa itu dikongsi di laman sosial termasuk di Facebook Cyberjaya Community.
Seorang netizen, Syefri Moniz meninggalkan komen dengan mengatakan bahawa Jalan Cyberjaya memang berbahaya dan tidak sesuai untuk aktiviti berbasikal.
"Banyak simpang keluar masuk yang kereta laju-laju. Tertanya juga macam mana boleh sampai ke tengah jalan tu," tulisnya.
Peter Elijah membalas di ruangan komen dengan mendakwa, mangsa mungkin dilanggar ketika cuba melintas ke seberang jalan.
"Dia nak melintas lah tu ke sebelah. Nak melintas jalan kaki kat lebuh raya tiga lorong pun takut apatah lagi lima lorong macam ni," katanya.
Sementara itu, seorang netizen menggunakan nama Aze Azre berkata, pertembungan jalan lurus dan susur masuk kiri akan membuatkan penunggang basikal kelihatan seolah-olah berada pada kedudukan di tengah-tengah jalan raya.
"Penunggang basikal selalunya akan bergerak ke kiri jalan yang bermaksud mereka akan menghimpit susur masuk tadi untuk mengelak berada di tengah jalan.
"Cuma apabila kereta dari susur keluar tidak perasan (kedudukan basikal), pasti akan langgar belakang dan mangsa tercampak ke tengah jalan," jelasnya sambil meninggalkan nasihat kepada penunggang basikal lain supaya apabila berdepan situasi sedemikian, mereka digalakkan turun daripada basikal dan berjalan kaki.
TANGKAP layar komen netizen di Facebook Cyberjaya Community.
Pada masa sama, perkongsian berita tersebut turut dihujani dengan ucapan takziah dan simpati daripada warganet lain.
Mereka turut berharap kejadian itu menjadi iktibar kepada pengguna jalan raya khususnya penunggang motosikal agar lebih berhati-hati ketika melakukan aktiviti riadah itu.
"(Ambil) iktibar. Masakan atlet profesional buat latihan dengan escort pun boleh dilanggar, inikan pula amatur," tulis Mohd Aminuddin.
Dalam pada itu, Astro Awani melaporkan, jenazah Jeffry kini berada di Unit Forensik Hospital Serdang untuk proses bedah siasat dan tindakan lanjut.
Allahyarham yang juga pekerja Astro Production Sdn Bhd (APSB) meninggalkan seorang isteri dan dua orang anak. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram