'Ambil iktibar gelombang Covid-19 sebelum ini'


  • Massa
  • Sabtu, 23 Okt 2021

MASYARAKAT tidak boleh mengambil mudah atau bersikap sambil lewa selepas kelonggaran yang diberikan kerajaan dalam PPN. — Gambar hiasan/The Star

MASYARAKAT dinasihatkan supaya terus patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) supaya gelombang keempat Covid-19 tidak berkemungkinan berlaku.

Perkara itu dinyatakan Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Marlina Osman.

Beliau turut menyatakan orang ramai perlu mengambil iktibar daripada gelombang yang berlaku pada Mei hingga September lalu yang memadam kejayaan negara membendung virus itu sebelum ini.

DR MARLINA memberitahu, gelombang Covid-19 menyebabkan banyak kes pesakit yang menghidap penyakit lain tertangguh.

"Tidak ada arahan untuk masyarakat mengambil mudah atau bersikap sambil lewa selepas kelonggaran dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) seperti kebenaran rentas negeri dibenarkan.

"Kepatuhan kepada SOP perlu diteruskan meskipun ramai di antara kita sudah lengkap menerima dua dos vaksin," katanya kepada Majoriti.

Tambah Marlina lagi, masyarakat perlu sentiasa patuh dan prihatin dengan semua nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Jelasnya lagi, masyarakat memainkan peranan penting dalam memastikan gelombang virus tidak lagi berlaku.

"Kita perlu sentiasa berjaga-jaga, sudah pasti rasa risau itu perlu ada bagi membolehkan kita mengambil tindakan yang betul untuk mengelakkan jangkitan.

"Jika gelombang berulang, bukan sahaja kes Covid-19 yang akan meningkat tetapi kes pesakit yang menghidap penyakit lain (kritikal dan sebagainya) tertangguh juga bertambah," ujarnya.

Sementara itu, Marlina turut mengulas tentang perkongsian Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berhubung kadar kemasukan ke hospital berkaitan kes Covid-19 di Lembah Klang dan Sarawak yang menunjukkan peningkatan dalam masa tujuh hari lalu.

Katanya, pada masa ini masyarakat perlu berhati-hati bagi mengelakkan angka itu meningkat meskipun ia bukan indikator kepada petanda gelombang keempat.

Hurai beliau lagi, petanda gelombang memerlukan analisa lebih terperinci bagi mengenalpasti punca peningkatan kes.

"Ia perlu dilihat secara keseluruhan iaitu kes baharu, kes aktif, angka di pusat kuarantin, di dalam wad, unit rawatan rapi (ICU) dan juga jumlah kematian.

"Ketika ini graf wabak Covid-19 negara merujuk kepada jumlah kes aktif secara keseluruhan dan ia mencatatkan pola trend menurun," kongsinya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Malin Osman, UPM, Covid-19, vaksin, gelombang, SOP, KKM, MKN