Ratu Elizabeth II dimasukkan ke hospital, bukan angkara Covid-19


  • Benua
  • Jumaat, 22 Okt 2021

Ratu Elizabeth telah berada di takhta sejak 1952 dan merupakan ratu paling lama berkhidmat di Britain. — Reuters

RATU Elizabeth II terpaksa membatalkan lawatan ke Ireland Utara minggu ini kerana dimasukkan ke hospital pada Rabu bagi menjalani pemeriksaan kesihatan, kata jurucakap Istana Buckingham dalam satu kenyataan pada Khamis.

Menurut kenyataan itu, beliau meluangkan satu malam di wad hospital itu dan kini berada di Istana Windsor.

"Selepas dinasihatkan untuk berehat selama beberapa hari, Ratu Elizabeth II dibawa ke hospital bagi menjalani pemeriksaan kesihatan pada petang Rabu.

"Beliau sudah kembali ke Istana Windsor pada hari ini (Khamis) dan berada dalam keadaan sihat," kata kenyataan itu.

Menurut laporan agensi berita Press Association, kedatangan beliau ke hospital tidak diumumkan kerana dijangka hanya sekejap, serta demi melindungi privasi ratu berusia 95 tahun itu.

Laporan itu turut menjelaskan bahawa Ratu Elizabeth II terpaksa bermalam di hospital "atas sebab praktikal".

Jelas Istana Buckingham, masalah kesihatannya itu tiada kaitan dengan virus Covid-19.

Ratu Elizabeth II, yang telah berada di takhta sejak 1952 dan merupakan ratu paling lama berkhidmat di Britain, dikatakan telah kembali menjalankan tugas-tugas ringan pada Khamis.

Beliau bakal meraikan ulang tahun ke-70 pemerintahannya pada tahun hadapan. — AFP

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram