Waspada risiko banjir sehingga November


  • Primer
  • Jumaat, 22 Okt 2021

HUJAN lebat ekstrem sebegini boleh menyebabkan banjir kerana sungai tidak dapat menampung kapasiti jumlah air berlebihan. — Gambar hiasan/The Star.

PENDUDUK di kawasan rendah dan berisiko banjir perlu lebih peka dengan keadaan semasa sepanjang fasa peralihan monsun yang dijangkakan bakal melanda sehingga awal bulan depan.

Ingatan itu dikeluarkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memandangkan risiko banjir sentiasa ada sepanjang fasa itu.

Ketua Pengarah JPS, Datuk Nor Hisham Mohd Ghazali berkata, berdasarkan laporan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), rantau negara ini akan menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah bagi kejadian ribut petir yang lazimnya membawa hujan lebat serta angin kencang dalam masa singkat.

"Hujan lebat ekstrem sebegini boleh menyebabkan banjir kerana sungai tidak dapat menampung kapasiti sebegitu dalam tempoh singkat dan akan melimpahi tebing, seterusnya menjejaskan kawasan penempatan rendah terutamanya.

"Orang ramai juga diingatkan tidak membuang sampah merata-rata dan menjaga persekitaran supaya aliran sungai tidak terhalang, lalu memburukkan lagi keadaan dan menyebabkan banjir," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Untuk itu, Nor Hisham menegaskan JPS mengambil inisiatif melaksanakan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) dan menyediakan Pelan Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu (IRBM), Pelan Induk Tebatan Banjir dan Pelan Induk Saliran Mesra Alam (PISMA) sebagai persediaan menghadapi banjir.

Malah kerja selenggara sungai, kolam takungan banjir dan infrastruktur JPS juga dilakukan secara berskala.

Orang awam boleh mendapatkan maklumat hebahan dan amaran banjir, status aras air sungai dan kelebatan hujan di seluruh Malaysia di laman web Public Infobanjir iaitu https://publicinfobanjir.water.gov.my dan menerusi aplikasi MyPublicInfoBanjir. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

JPS, banjir, peralihan monsun, persiapan