SEMUA agensi di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) perlu segera melaksanakan program dan agenda yang digariskan kerajaan selaras dengan naratif kementerian itu.
Menurut Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid, mandat yang diberikan kepada agensi-agensi KPLB juga jelas iaitu mensejahterakan masyarakat di luar bandar.
"Kita adalah agensi yang melaksanakan program atau agenda kerajaan. Apakah benda atau naratif kepada pembangunan luar bandar yang sudah semestinya di dalam itu adalah kesejahteraan rakyat, kemudahan untuk rakyat dan lebih dari itu lagi ialah hendak membantu masyarakat di luar bandar dalam perkara-perkara yang dalam bidang tugas KPLB," katanya menerusi kenyataan dikeluarkan pada Khamis.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Bersama Ketua-ketua Agensi KPLB Wilayah Sarawak, Kuching, Sarawak sempena lawatan kerja tiga hari.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar II, Datuk Hasbi Habibollah dan Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Ramlan Harun.
Tambah Mahdzir, mandat yang diberikan kepada agensi-agensi KPLB adalah yang berkaitan dengan pembangunan sosioekonomi, kemudahan prasarana serta pendidikan untuk masyarakat pelbagai peringkat.
"Mandat kita adalah mandat sosioekonomi, mandat kita adalah mandat yang berkaitan dengan pendidikan, mandat kita adalah mandat yang berkaitan dengan prasarana dan kemudahan rakyat," ujarnya.
Tegas beliau, sebagai ketua agensi yang diamanahkan melaksanakan program dan agenda pembangunan masyarakat, mereka perlu ada perasaan simpati untuk membantu masyarakat yang memerlukan.
Justeru, beliau menyeru agar segala keperluan rakyat disegerakan dan dipermudahkan pelaksanaannya tanpa melanggar peraturan dan ketetapan sedia ada.
"Saya minta supaya kita kena ada perasaan simpati kepada rakyat, kita kena ada perasaan untuk kesian kepada rakyat yang kita nak tolong.
"Saya sendiri datang dari kumpulan ahli politik marhaen, saya datang dari kampung, saya tahu kesusahan dan kepayahan yang dialami oleh rakyat. Jadi ia sangat dekat dengan jiwa saya untuk saya bantu."
Selain itu, beliau juga mahu semua agensi di bawah KPLB menyediakan Sistem Data Raya dan maklumat berkaitan pelaksanaan projek dan program pembangunan untuk rakyat.
Jelas beliau, sistem itu akan memudahkan status segala program pembangunan dipantau dan disalurkan kepada pihak yang berkaitan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram