Hanya bincang isu Covid-19, bukan PRN Sarawak — Abang Johari


  • Primer
  • Khamis, 21 Okt 2021

SESI menghadap Timbalan Yang di-Pertuan Agong Sultan Nazrin Muizzuddin Shah tidak menyentuh mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 (PRN12) tetapi isu berkait Covid-19, kata Ketua Menteri Sarawak.

Abang Johari Tun Openg pada Khamis menghadap Timbalan Yang di-Pertuan Agong ketika laporan hangat memperkatakan bahawa Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak akan dibubarkan bagi memberi laluan kepada PRN.

"Ya, saya menghadap Timbalan Yang di-Pertuan Agong dan bertanya berhubung perkara kecemasan Covid-19...itu sahaja, tidak ada apa-apa berhubung pilihan raya negeri,” katanya ketika diminta mengulas laporan media tempatan yang mendakwa DUN Sarawak akan dibubarkan pada Khamis.

Abang Johari bagaimanapun tidak menjelaskan secara lanjut mengenai pertemuan tersebut.

Mengulas tentang tarikh PRN akan diadakan, Abang Johari berkata perkara tersebut adalah di bawah bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

"Bukan kuasa saya, kuasa (Yang di-Pertuan) Agong... kalau Agong bertitah untuk pilihan raya, pilihan raya lah. Saya tidak boleh memberitahu secara terperinci sebab itu bukan kuasa saya,” tegasnya.

Ogos lalu, perintah darurat dikuatkuasakan di Sarawak bagi membendung penularan Covid-19 susulan peningkatan kes Covid-19 secara mendadak sekali gus menyebabkan PRN12 tidak boleh diadakan meskipun tempoh DUN tamat Jun lepas.

Perintah Darurat di Sarawak dijadual tamat pada 2 Feb 2022.

Terdahulu, Pejabat Ketua Menteri dalam satu kenyataan menafikan bahawa berlakunya mesyuarat pembubaran DUN Sarawak yang dihadiri Abang Johari.

Kenyataan itu dikeluarkan sebagai merujuk kepada beberapa laporan media semalam yang mengatakan Abang Johari akan membuat pengumuman berhubung perkara berkenaan hari ini.

"Pejabat Ketua Menteri Sarawak ingin menjelaskan bahawa tidak ada mesyuarat sedemikian, sama ada hari ini mahupun esok sebagaimana yang dilaporkan,” menurut kenyataan itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Abang Johari, PRN Sarawak, Bubar, DUN Sarawak