Vaksin remaja, Malaysia antara negara terpantas di dunia


  • Primer
  • Jumaat, 22 Okt 2021

SEBANYAK 80 peratus remaja berusia 12 hingga 17 tahun sudah pun disuntik sekurang-kurangnya satu dos vaksin Pfizer dalam tempoh kurang dua bulan. — Gambar hiasan/Bernama

MENTERI Kesihatan, Khairy Jamaluddin mendedahkan Malaysia muncul antara negara terpantas di dunia yang memberikan suntikan vaksin Covid-19 kepada remaja.

Dalam tempoh kurang dua bulan, 80 peratus remaja berusia 12 hingga 17 tahun sudah pun disuntik sekurang-kurangnya satu dos vaksin Pfizer.

"Satu daripada pemberian vaksin Covid-19 kepada remaja yang terpantas di dunia.

"Terima kasih, @DrNoorAzmi (Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali), @DrMahHS (Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Dr Mah Hang Soon) dan semua di CITF-A (Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi Covid-19 Remaja). #LindungDiriLindungSemua,” katanya menerusi ciapan Twitter pada Jumaat.

Dr Noor Azmi menjadi individu terpenting dalam program vaksinasi kepada remaja sebagai Pengerusi CITF-A.

Menurut Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi portal COVIDNOW, data menunjukkan 1,367,216 remaja berusia 12 hingga 17 tahun atau 43.4 peratus sudah lengkap divaksin setakat Khamis.

Secara menyeluruh, sejumlah 2,524,156 remaja sudah pun menerima sekurang-kurangnya suntikan dos pertama vaksin sejak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja dilancarkan, 8 September lalu.

Untuk populasi dewasa, seramai 22,084,594 individu atau 94.3 peratus melengkapkan vaksinasi bagi tempoh sama atau 97.3 peratus atau 22,792,916 individu menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19.

Sejak mula dilancarkan 24 Februari lalu, PICK sudah pun merekodkan jumlah kumulatif 48,673,215 dos vaksin. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

suntikan vaksin, kkm, khairy