PRN Melaka: PH 'tolak' Norhizam Hassan jadi calon


  • Politik
  • Khamis, 21 Okt 2021

KEDUDUKAN Norhizam sebagai calon PRN Melaka terus menjadi tanda tanya.

MAJLIS Presiden Pakatan Harapan (PH) pada Khamis memutuskan untuk tidak menyenaraikan Datuk Norhizam Hassan Baktee sebagai calon dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Perkara itu dimaklumkan menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan pada Khamis.

Menurut Majlis Presiden PH, isu pencalonan empat bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam PRN tidak dibangkitkan dalam mesyuarat yang diadakan pada Khamis.

"Dalam isu empat bekas ADUN, PH menerima pandangan semua pihak yang tegas tentang perkara ini. Perlu ditekankan kepentingan rakyat adalah lebih penting daripada mana-mana individu.

"Oleh kerana mereka bukan ahli mana-mana parti komponen PH, maka soal pencalonan mereka dalam PRN tidak dibangkitkan," ujar kenyataan berkenaan.

Dalam pada itu, Majlis Presiden PH menghantar wakil bagi mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung prosedur operasi standard (SOP) PRN Melaka.

"Ini bagi menyampaikan pandangan PH serta memastikan prinsip demokrasi dijunjung, hak parti-parti politik bertemu pengundi tidak terjejas, dan perjalanan pilihan raya adalah adil kepada semua pihak terutama pada ketika Melaka berada di dalam Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN)," jelas kenyataan itu.

Majlis Presiden PH juga bersetuju melantik Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari bagi mengetuai jentera pilihan raya PH bagi menghadapi PRN Melaka. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram