Tersepit di tempat duduk pemandu, bapa maut di sisi anak


  • 112
  • Jumaat, 22 Okt 2021

MANGSA berusia 49 tahun disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik yang tiba di lokasi kejadian. — Gambar ihsan JBPM Sabah

SEORANG bapa maut manakala anak lelakinya cedera dalam insiden kemalangan di Kampung Safoda, Jalan Papar, Kota Belud, Sabah malam Khamis.

Pada kejadian jam 10.30 malam itu, van yang dipandu mangsa berusia 49 tahun bertembung dengan kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux.

Anak mangsa berusia 15 tahun dan pemandu Toyota Hilux yang belum dikenalpasti hanya mengalami kecederaan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 10.43 malam.

Seramai 10 anggota bersama jentera dan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Setiba di lokasi, pemandu van Nissan Vanette didapati tersepit di tempat duduk pemandu.

"Mangsa kemudian berjaya dikeluarkan dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik di lokasi kejadian," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Menerusi kenyataan sama memaklumkan mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut manakala dua lagi mangsa diberikan rawatan oleh pasukan EMRS.

Katanya, kedua-dua mangsa yang terselamat kemudian dihantar ke Hospital Papar dan Hospital Queen Elizabeth II untuk mendapatkan rawatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

kemalangan maut, papar, Toyota Hilux