Geng basikal lajak siap ada mekanik dicekup


  • 112
  • Khamis, 21 Okt 2021

ANTARA basikal lajak yang disita polis Johor. — Bernama

POLIS menahan lapan kanak-kanak dan remaja lelaki di dua lokasi berbeza selepas didapati menunggang basikal lajak secara berkumpulan dengan melakukan aksi berbahaya di Johor Bahru, Johor.

Kesemua mereka ditahan pada 15 dan 16 Oktober menerusi Operasi Khas Basikal Lajak.

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara (JBU) Supritendan Fariz Ammar Abdullah, kanak-kanak dan remaja berumur antara 10 hingga 15 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota daripada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik JBU.

"Lima daripada mereka dikesan melakukan aktiviti itu di Kampung Jaya Sepakat, kira-kira pukul 6.30 petang (15 Oktober), manakala tiga lagi di Jalan Laksamana, Taman Ungku Tun Aminah antara pukul 11.30 malam hingga 1 pagi.

"Hasil pemeriksaan mendapati basikal-basikal berkenaan telah diubah suai dan tidak mengikut spesifikasi jenis basikal yang selamat untuk ditunggang dan kesemua mereka dibawa ke Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah JBU untuk soal siasat,” katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Tambahnya lagi, hasil soal siasat mendapati seorang daripada mereka iaitu remaja yang berumur 15 tahun berperanan sebagai pomen basikal lajak.

Jelas Fariz Ammar lagi, ramai rakan remaja ini akan datang ke rumahnya untuk membaiki dan membeli alat tukar ganti.

"Hasil pemeriksaan di rumahnya pula kita menjumpai pelbagai komponen basikal.

"Penjaga kanak-kanak dan remaja itu turut dipanggil ke Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah JBU untuk diberikan penerangan mengenai bahaya membawa basikal lajak di jalan raya dan risiko yang bakal dihadapi sekiranya terbabit dalam kemalangan," ujarnya.

Katanya lagi, kesemua lapan kanak-kanak dan remaja terbabit kemudian dikenakan saman mengikut Peraturan 42 (1) (A) LN 166/59 dan basikal lajak mereka turut dirampas mengikut Seksyen 112 (3) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram