Produk berbahaya, tidak berdaftar lebih RM720,000 dirampas di Kelantan


  • 112
  • Khamis, 21 Okt 2021

ZAINI menasihatkan orang awam supaya sentiasa berhati-hati sewaktu membuat pembelian secara online. — Bernama

PELBAGAI produk tidak berdaftar, kosmetik tidak bernotifikasi dan produk disyaki mengandungi racun berjadual bernilai kira-kira RM720,402 dirampas Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) dalam satu serbuan di sekitar Kota Bharu, Kelantan pada Rabu.

Menurut Pengarah JKNK Kelantan, Datuk Dr Zaini Husin, serbuan tersebut dilakukan serentak ke atas empat buah premis oleh Cawangan Penguatkuasaan Farmasi (CPF) Kelantan dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu.

"Kesemua premis yang diserbu dalam operasi itu menjalankan perniagaan secara dalam talian menggunakan platform e-dagang bagi memasarkan produk keluaran mereka.

"Menerusi operasi itu, CPF Kelantan merampas 293 produk tidak berdaftar, lapan kosmetik tidak bernotifikasi dan empat produk disyaki mengandungi racun berjadual," katanya menerusi satu kenyataan pada Khamis.

Tambahnya lagi, turut dirampas ialah lapan buah peranti digital yang dipercayai digunakan bagi penjualan secara online.

Katanya lagi, JKNK memandang serius tentang kegiatan pengilangan, pengedaran dan penjualan produk kesihatan khususnya ubat tidak berdaftar, kosmetik tidak bernotifikasi dan ubat campur palsu di Kelantan.

"JKNK mengambil inisiatif dengan membuat pemeriksaan dan menggempur setiap premis pengilangan, pengedaran dan penjualan secara langsung dan dalam talian bagi memastikan produk itu mempunyai kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Individu yang disabitkan kesalahan di bawah peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya," ujarnya.

Jelasnya, syarikat yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.

Zaini turut memberitahu, sehingga September ini, CPF Kelantan telah merampas pelbagai jenis ubat tidak berdaftar, kosmetik tidak bernotifikasi dan produk kesihatan yang dicemari racun berjadual bernilai lebih RM1.8 juta.

"JKNK ingin menasihatkan orang awam supaya sentiasa berhati-hati sewaktu membuat pembelian secara dalam talian.

"Pengguna perlu memastikan produk yang ingin dibeli berdaftar dengan KKM dan mempunyai nombor notifikasi," jelasnya.

Hurainya lagi, produk berdaftar mempunyai nombor pendaftaran MAL dan pelekat label Hologram FarmaTag pada bungkusannya.

Beliau turut menyarankan orang ramai untuk menyemak kesahihan nombor pendaftaran produk dan kosmetik dengan melayari https://www.npra.gov.my.

"Orang ramai juga boleh menghubungi Bahagian Regulatori Farmasi Negara di talian 03-7883 5400 atau memuat turun aplikasi NPRA Product Status secara percuma melalui Play Store, App Store dan Huawei App Gallery," kongsinya.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

JKNK, rampas, produk, tidak daftar, racun, serbuan