Rentas Negeri: Jangan abai keselamatan anak


  • Massa
  • Jumaat, 22 Okt 2021

IBU bapa wajar mengambil kira keselamatan anak-anak yang belum divaksin sebelum ambil keputusan melakukan sebarang aktiviti termasuk rentas negeri. — Gambar hiasan/Bernama

DI sebalik kebenaran kerajaan untuk aktiviti rentas negeri, tidak bermaksud rakyat boleh mula alpa dalam aspek penjagaan keselamatan diri.

Sejak pengumuman dibuat, dapat dilihat aliran trafik di jalan utama makin bertambah namun persoalannya sejauh manakah jaminan keselamatan khususnya bagi kanak-kanak berusia bawah 12 tahun?

Umum sudah sedia maklum yang kelompok usia itu belum lagi menerima suntikan vaksindan risikonya mungkin lebih tinggi berbanding ibu bapa yang sudah pun lengkap dos.

Kebimbangan itu juga yang sering dibangkitkan pakar kesihatan namun setakat ini belum ada ketetapan dibuat berkaitan vaksinasi bagi golongan itu.

Pakar kesihatan pekerjaan, kecemasan dan kesihatan awam, Dr Hanafiah Bashirun berkata, orang ramai dinasihatkan mengawal pergerakan dan tidak wajar untuk berkunjung ke lokasi sesak.

"Tujuan utama dibenarkan merentas negeri adalah bagi mereka yang sudah lama tidak menziarahi orang tua agar dapat pulang ke kampung, tetapi janganlah sebelum pulang ke kampung kita pergi bercuti di sana sini.

"Jika terlalu banyak tempat persinggahan, kita bukan sahaja boleh merisikokan anak-anak terutamanya yang belum divaksinasi tetapi berkemungkinan membawa pulang virus yang akhirnya boleh menjangkiti orang tua kita,’’ katanya.

Untuk itu, peranan ibu bapa yang memiliki anak kecil begitu besar terutamanya dalam membuat perancangan terbaik dan tidak mendedahkan anak di kawasan sesak.

Langkah yang mungkin sesuai adalah membawa bekal supaya dapat meminimakan pergerakan atau pun persinggahan di kedai sepanjang perjalanan.

"Begitu juga jika singgah di mana-mana seperti surau dan masjid, sentiasa jaga penjarakan fizikal dan semua ahli keluarga termasuk anak-anak kecil wajib sanitasi tangan. SOP ini adalah paling asas untuk mencegah jangkitan Covid-19,” katanya.

Malah Dr Hanafiah turut menggalakkan individu dewasa melakukan ujian kendiri secara berskala sebagai saringan awal sepanjang berada di kampung.

Sementara itu, Timbalan Pengarah (Klinikal) Hospital Universiti Teknologi MARA, Prof Madya Dr Ahmad Izuanuddin Ismail berkata, langkah terbaik untuk mengelakkan anak daripada dijangkiti Covid-19 adalah dengan cara mengelak kawasan tumpuan ramai.

Ini kerana, Dr Ahmad Izuanuddin berasakan agak sukar untuk memastikan kanak-kanak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) terutamanya yang berusia bawah lima tahun.

"Walaupun Covid-19 sudah biasa dalam kehidupan kita, ibu bapa perlu ingat masih ada kuman atau virus lain yang berada dalam persekitaran dan mudah menjangkiti kanak-kanak.

“Kesannya pun ada masa lebih teruk daripada Covid-19, seperti virus influenza dan pneumokokal,’’ katanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram