Nekad keluar wad gara-gara rumah dinaiki air banjir


  • Massa
  • Khamis, 21 Okt 2021

SAEDAH bersama anaknya di PPS Sekolah Kebangsaan Durian Tunggal, Melaka pada Khamis. — Bernama

SEORANG warga emas nekad keluar dari wad Hospital Melaka, Melaka sebaik dimaklumkan rumah yang diduduki di Kampung Pulau, Durian Tunggal, Melaka dinaiki air akibat hujan lebat pada Rabu.

Matsell Salim, 64, yang sedang menjalani rawatan akibat menghidap penyakit jantung dan tinggal berseorangan itu bergegas pulang ke rumahnya kira-kira 2.30 petang untuk menyelamatkan barang-barang berharga.

"Pakcik baru sehari masuk hospital dan semalam (Rabu) kawan telefon beritahu air dah mula naik di kawasan rumah sebab hujan lebat dan tanpa berlengah, pakcik pulang ke rumah.

"Bila sampai di rumah, paras ais mulanya naik paras lutut tetapi dua jam kemudian dah cecah paras pinggang, tak banyak barang yang dapat diselamatkan," katanya ketika ditemui pemberita di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Durian Tunggal, Melaka pada Khamis.

Tambah Matsell, banjir kilat yang berlaku pada Rabu bukan kejadian pertama sebaliknya ia seperti 'acara tahunan' bagi penduduk kampung berkenaan.

Sementara itu seorang lagi penduduk kampung, Saedah Majid, 51, berkata, banjir kilat yang berlaku di Kampung Pulau, bagaikan tiada penyelesaiannya sekali gus menjadikannya sentiasa berwaspada setiap kali hujan lebat.

Ujarnya, setiap kali banjir berlaku, beliau dan suaminya akan memastikan semua 14 ahli keluarga termasuk seorang anak Orang Kelainan Upaya (OKU) yang berusia 29 tahun akan dipindahkan ke tempat yang lebih selamat.

"Rumah makcik terletak berhampiran sungai dan setiap kali hujan lebat, banjir dan air deras, kami sekeluarga saling membantu menggendong anak yang OKU.

"Macam semalam, hujan lebat sejak pukul 5 petang hingga air naik paras pinggang. Banyak barang yang tidak dapat diselamatkan hinggakan kami tidak punya apa pun kerana setahun lebih tiga kali banjir berlaku," katanya yang bekerja mengemas sebuah masjid berhampiran rumahnya.

Terdahulu, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali meluangkan masa melawat mangsa banjir di PPS berkenaan dan menyampaikam sumbangan makanan dan barangan keperluan asas.

Menurut Sulaiman, satu pertemuan antara kerajaan negeri dengan wakil penduduk termasuk Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) akan diadakan bagi mengenal pasti punca berlaku banjir kilat yang berlaku di setiap kawasan dalam masa terdekat.

"Pertemuan ini akan melibatkan banyak pihak termasuk agensi berkaitan bertujuan merangka pelan jangka pendek bagi mengekang kejadian banjir kilat berulang sementara pelan jangka panjang selesai dilaksanakan.

"Sekiranya hasil perbincangan berkenaan perlu dirujuk kepada kementerian tertentu, kita akan lakukan," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

warga emas, hospital, banjir, hujan, sungai