'BERAT mata memandang, berat lagi bahu memikul' adalah peribahasa tepat bagi menggambarkan penderitaan yang dialami seorang pemuda berusia 23 tahun, apabila disahkan menghidapi Arthrogryposis Multiple Congenita (AMC) atau kekurangan upaya fizikal.
Ketika pemuda seusianya menyambung pelajaran atau bekerja bagi menampung hidup keluarga, namun Awang Azrul masih lagi mengharapkan kudrat ibunya yang tidak mempunyai pendapatan tetap.
Tambahan pula, ayahnya pula menghidap penyakit gout dan tidak mampu mengangkat anak ketiga dari enam beradik itu untuk ke tandas.
Keadaan Awang Azrul yang kurus kering akibat penyakit dialaminya. — Facebook Yayasan Ikhlas
Lantaran itu, Yayasan Ikhlas Sarawak bersama-sama Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik) Sarawak pada 17 Oktober lalu, mengambil inisiatif menghulurkan bantuan bagi meringankan beban keluarga Awang di kediamannya dekat Kuching, Sarawak.
Menerusi kempen Bantu Pesakit Sihat, sumbangan itu adalah berbentuk sebuah kerusi roda khas yang menyenangkan pesakit masuk ke dalam tandas, selain bantuan lampin pakai buang serta wang tunai.
"Awang menghidap AMC, iaitu penyakit yang jarang didengari dan berlaku semenjak lahir.
"Dia adalah pemegang kad OKU (orang kurang upaya) sejak lahir dan memerlukan penjagaan khas," kata Yayasan Ikhlas dalam satu kenyataan di Facebook pada Rabu.
Sumbangan tersebut disampaikan oleh Duta Yayasan Ikhlas, Dr Mohd Khairol Jambli dan diiringi Pengerusi I-Medik Sarawak, Dr Mohd Naqib Ahmad Napis.
Sementara itu, Pegawai Yayasan Ikhlas Sarawak, Hafeez Morni berkata, Awang pada suatu ketika dahulu mampu menyuap makanan sendirian, namun apabila tulang belakangnya dipasang dengan besi titanium, dia terpaksa bergantung kepada orang lain untuk berbuat demikian.
"Titanium itu sepatutnya sudah dibuka, tetapi disebabkan pelaksanaan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) perkara itu jadi tertangguh," katanya.
Hafeez berkata, Awang sebelum ini turut mendapat bantuan kewangan daripada pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) serta Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk menampung kos rawatannya yang mencecah puluhan ribu ringgit.
Orang ramai yang ingin menyalurkan bantuan ke atas Awang boleh berbuat demikian melalui akaun Yayasan Ikhlas, Maybank: 5628 3463 6228, Rujukan: BPSYI atau klik di pautan ikhlas.fund/ms/kempen/bantu-pesakit-sihat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram