Mahu bantu jentera Umno hadapi PRN Melaka, Najib mohon pindaan pelepasan ke Singapura


NAJIB memohon pindaan tarikh pelepasan dan pemulangan pasportnya untuk ke Singapura. — Bernama

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memohon pindaan tarikh pelepasan dan pemulangan pasportnya untuk ke Singapura di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Jumaat.

Pemohonan itu dibuat selepas mengambil kira amanah yang diberikan oleh Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi supaya beliau membantu jentera parti menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November depan.

"Oleh yang demikian, saya terpaksa menangguhkan perjalanan saya ke Singapura sehingga selepas tamat PRN Melaka pada 20 November ini," kata Najib menerusi afidavit sokongan tambahan yang difailkan bersama permohonan itu.

Ahmad Zahid akan berangkat ke Jerman untuk mendapatkan rawatan tulang belakang dan permohonan Najib itu dilakukan menerusi Tetuan Shafee & Co.

Menerusi permohonan itu, Najib meminta jadual pelepasannya ditetapkan pada 25 Oktober sehingga 6 Disember, berbanding 20 Oktober sehingga 22 November seperti ditetapkan sebelum ini.

Najib akan ke Singapura bagi melawat anak perempuannya Nooryana Najwa yang dijangka akan melahirkan anak kedua pada awal November.

Dalam afidavit sokongan itu Najib berkata pada 18 Oktober lepas, beliau telah mendapat kebenaran daripada Mahkamah Rayuan untuk pelepasan sementara pasport antarabangsanya bermula 20 Okt sehingga 22 November ini.

"Saya meletakkan kepercayaan kepada isteri saya, Datin Seri Rosmah Mansor yang akan bertolak ke Singapura terlebih dahulu untuk mengawasi keadaan Nooryana sementara saya masih di Malaysia.

"Saya akan susuli isteri saya sejurus menyelesaikan tanggungjawab saya di sini terlebih dahulu," katanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Ashrof Adrin Kamarul berkata, pihaknya perlu mendapatkan arahan selanjutnya daripada Peguam Negara berhubung permohonan pindaan itu.

Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan menetapkan 26 Oktober ini untuk mendengar permohonan. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram