Penjenayah cuba seludup 94,600 batang rokok bernilai RM189,200 dicekup


  • 112
  • Jumaat, 22 Okt 2021

SUSPEK yang berusia 49 tahun itu ditahan ketika serbuan dilakukan ke atas rumahnya pada jam 11 malam. — Gambar ihsan Polis Kelantan

SEORANG lelaki yang mempunyai tujuh rekod kesalahan lampau berkaitan dadah seakan tidak pernah serik dan kali ini ditahan kerana memiliki sebanyak 94,600 batang rokok seludup bernilai RM189,200 di Kampung Dangar, Pasir Mas, Kelantan pada Khamis.

Suspek yang pernah dikenakan tindakan dibawah bawah Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) berusia 49 tahun itu ditahan ketika serbuan dilakukan ke atas rumahnya pada jam 11 malam.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, kesemua rokok itu dijumpai di rumahnya namun pemeriksaan lanjut tidak menemui barang terlarang lain.

"Pemeriksaan badan ke atas suspek gagal menemukan sebarang barangan larangan namun selepas pemeriksaan dilakukan di dalam rumahnya, 10 kotak besar mengandungi 94,600 batang rokok putih dijumpai," katanya menerusi satu kenyataan pada Jumaat.

Dalam perkembangan lain, Mohd Nasaruddin turut mendedahkan pihaknya berjaya merampas 400 biji pil kuda susulan penahanan seorang lelaki berusia 23 tahun.

Penahanan itu dilakukan di depan sebuah kedai di Kampung Tobuak di Tendong pada malam Khamis, kira-kira jam 11.30 malam.

Polis berjaya menemui satu beg hitam kelabu di pinggang suspek dan menjumpai dua paket plastik biru berisi 400 biji pil kuda yang dianggarkan bernilai RM4,000.

"Suspek juga didapati positif dadah jenis Methamphetamin serta memiliki satu rekod lampau berkaitan dadah," katanya.

Kes membabitkan rampasan pil kuda ini akan disiasat di bawah Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen15(1)(a) akta yang sama. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram