KERAJAAN diminta mempertimbangkan cadangan untuk membenarkan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) meneruskan moratorium bersasar kepada peminjam terkesan ekoran pandemik Covid-19.
Cadangan itu menjadi salah satu daripada tiga yang dikemukakan Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan ketika sesi dialog ketua penerangan parti dalam kerajaan bersama Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Wan Saiful merasakan, cadangan itu dapat meringankan beban peminjam memandangkan masih ramai sedang menghadapi masalah kewangan.
“Tetapi jika moratorium sukar dilaksanakan, saya nyatakan bahawa kerajaan patut berikan diskaun paling kurang 20 peratus kepada peminjam yang membuat bayaran penuh,” katanya menerusi menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.
Wan Saiful yang juga Pengerusi PTPTN menjelaskan, beliau turut meminta kerajaan supaya memberikan diskaun kepada individu yang membayar menerusi potongan 'direct debit' bulanan.
Pendekatan itu dilihat sebagai salah satu ganjaran yang mungkin boleh diberikan kepada peminjam yang membayar mengikut jadual.
“Saya harap kerajaan akan pertimbangkan untuk Bajet 2022. Saya juga sampaikan surat rasmi daripada saya selaku Pengerusi PTPTN kepada Menteri Kewangan mengenai perkara ini,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram